Al-Fatihah - Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

Hari ni genap 19 tahun pemergian Allahyarham Sudirman Hj Arshad.

HotFM AM krew pagi tadi meriah dengan pelbagai cerita dan kenangan berkaitan dengan Allahyarham. Lagu-lagu beliau berkumandang dicorong radio sepanjang 3 jam pagi tadi.

Saya turut mempunyai kenangan pada hari pemergian beliau ke rahmatullah.

Kisahnya, selepas mengetahui je allahyarham telah meninggal melalui berita radio, kelam kabut saya mencari mak yang kebetulan sedang tunggu penjual ikan di jalan besar kampung saya.

Saya bagitau mak mengenai pemergian allahyarham dan hasrat saya memberitahu adalah untuk meminta beliau membelikan saya suratkhabar Utusan Malaysia.

Kata mak, langsung tak ada duit sebab dah beli ikan dan sayur. Memang kehidupan kami pada ketika itu teramatlah sengkek, saya pulak sedang menganggur.Kalau ada beberapa ringgit kat rumah tu mestilah diutamakan untuk belanja sekolah adik-adik untuk keesokkan hari nya.

Mak cakap memang tak ada harapan dapat beli suratkhabar hari ni. Boleh pinjam aja dengan Cik Ngah Mah seperti biasa, kan? Lagi pun setakat nak baca je tak perlu susah nak beli.

Saya cakap pada mak, ini lain, bukan takat nak baca je tapi nak simpan sebagai kenangan.
  
Memanglah sepanjang allahyarham sakit, setiap hari ke rumah Cik Ngah Ma(salah seorang kawan baik mak tinggal dalam kampung saya juga) untuk mengikuti perkembangan Allahyarham melalui Utusan, ketika itu Kak Bam , wartawan yang rapat dengan allahyarham sentiasa tuliskan perkembangan terkini.

Berbalik kepada kisah tak ada duit nak beli suratkhabar, mak cakap dah memang tak ada duit, tak payah la nak desak-desak sampai menangis-nangis.

Oleh kerana saya ni seorang anak yang tak  benar-benar solehah , saya tetap bagitau mak, nak beli jugak suratkhabar hari walau apa jadi pun  ( wah wah ....)
  
Last2, idea datang, mak punya idea la bukan saya punya.

Dia syorkan :

“apa kata kita kutip buah pinang Tok Cik ni yang berselerakan tepi-tepi jalan ni, lps tu kita jual kalau ada orang nak, biasanya ada je orang-orang tanya buah pinang tapi kita yang malas kutip”

Dengar je idea mak, saya terus berlari dapatkan Tok Cik ( arwah) mintak izin nak kutip buah Pinang, nak jual untuk beli suratkhabar…bila arwah cakap ambiklahhh..

Apa lagi laju la dua beranak mengutip buah pinang dan syukurlah memang ada orang datang nak membeli buah-buah pinang tersebut.

Tak silap dapat RM2.40 dan harga suratkhabar Utusan Malaysia ketika itu adalah RM0.80…Syukur tak terhingga, Allah sentiasa Mendengar rintihan hambanya.Bukan takat dapat beli untuk hari tu, esoknya dapat beli Mingguan Malaysia lagi.

Suratkhabar tu masih ada dalam simpanan di rumah mak saya di Terengganu.

Baru-baru ni , mak terkenang akan hal mengutip duit tu, dia betul-betul tak sangka pada saat anak menangis-nangis nak suratkhabar, duit tak ada, ternampak pinang berselerakan tepi jalan, kebetulan jugak pembeli datang membeli…Begitu Besarnya KuasaMU Ya Allah.


Al fatihah untuk Allahyarham Sudirman Haji Arshad dan Allahyarhamah Hajjah Meriam Haji Awang ( tuan punya buah pinang merangkap nenek saudara saya)