Home » , » Marion Caunter berkejar untuk susukan anak.

Marion Caunter berkejar untuk susukan anak.


BERTEMU dengan pengacara jelita Marion Caunter pada majlis persandingan Lisa Surihani dan Yusry baru-baru ini, Marion masih kelihatan kekal jelita. Tubuh badannya kelihatan masih kurus, seperti belum melahirkan seorang anak, sedangkan hakikatnya, dia baru sahaja melahirkan anak sulungnya yang diberi nama Leia Rose Caunter SM Nasaruddin pada 16 Disember lalu.
Hadir bersama suaminya, SM Nasaruddin pada majlis tersebut, mereka kelihatan sungguh secocok dan mencuri tumpuan hadirin ketika melangkah masuk ke dalam dewan. Itu merupakan kemunculan pertama Marion selepas melahirkan anak.

Meskipun majlis masih belum selesai, Marion dan suami dilihat tergesa-gesa meninggalkan majlis sebelum mereka disambar pihak media di luar pintu masuk.
Kata Marion, dia harus pulang untuk menyusukan anaknya, Leia yang akan berusia tiga bulan pada 16 Mac ini.
"Saya kena pulang segera bukan tidak mahu berada lama di majlis ini, tetapi anak saya memerlukan saya kerana dia menyusu badan," tuturnya lembut.
Marion dan suami bagaimanapun tetap meluangkan sedikit masa bersama pihak media yang ingin mengetahui tentang perkembangan terkininya.
Disoal bagaimana perubahan hidupnya selepas bergelar seorang ibu, sambil memandang wajah suaminya dengan senyuman, dia memberitahu: "Semua okey, anak saya tidak banyak meragam cuma jika ada masa dia manja, setiap jam dia akan minta susu.
"Biasanya dua jam sekali. Jadi sekarang memang saya hanya duduk di rumah sahaja menjaga Leia. Saya hampir tidak keluar ke mana-mana sebab anak menyusu badan."
Meskipun Marion akan kembali bekerja sebagai pengacara E! News Asia yang menjalani penggambaran di Singapura setiap minggu, jelasnya, dia belum terfikir untuk menghentikan penyusuan badan buat Leia. Malah akuinya, memberi susu tepung sebagai alternatif buat Leia akan difikirkan apabila tiba saatnya. Namun buat masa ini, dia mahu memberi penyusuan badan secara eksklusif selama yang mungkin.
"Memang saya sibuk, tetapi saya rasa lebih baik memberi susu badan berbanding susu tepung kerana anak lebih sihat. Memang saya ada terfikir untuk berikan dia susu tepung, tetapi bila melihat wajahnya tidak sampai hati pula," katanya.
Tambah Marion lagi, sebagai persediaan untuk dia kembali bertugas pada minggu hadapan, dia akan memerah susu dan menyimpan di dalam botol sebagai bekalan Leia saat dia berpergian ke Singapura.
Saya akan mula bekerja pada minggu depan, jadi caranya adalah saya akan menyimpan susu di dalam botol banyak-banyak sebelum saya terbang ke Singapura. Selain itu, saya akan pastikan yang saya pulang ke Kuala Lumpur pada hari yang sama juga sebab itu saya terpaksa tolak jika ada yang menawarkan kerja pengacaraan di Singapura. Anak kini nombor satu," balasnya sambil tersenyum manis.
Tambahnya lagi sejak melahirkan Leia, dia harus berfikir dua kali sebelum membuat keputusan untuk bercuti atau berjalan ke mana-mana.
"Pergerakan saya lebih terhad sekarang, kalau sebelum ada Leia, rasa ingin bercuti, terus pergi tanpa berfikir panjang sekarang tidak boleh macam itu lagi.
"Kalau kerja pun tidak boleh terlalu lama tinggalkan Leia, nanti saya rindu dia. Saya sekarang hak eksklusif Leia, bila penat bekerja atau tertekan, lihat wajahnya terus hilang semua penat. Bagi saya apa yang berlaku merupakan satu perubahan baik buat kami berdua," ujarnya yang cukup bahagia melewati fasa baharu kehidupannya ini.


0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...