Keindahan flora di rumah mak saya

Ni semua gambar yang di ambil oleh Nadhirah menggunakan hp saya. tak sangka cantik bunga-bunga di laman rumah mak saya, sungguhhhhh memang saya tak perasan pun.

Di rumah mak ada yang minat pokok bunga, ada yang minat dengan bonzai. Adik lelaki saya memang tanam bonzai dan menjadi mata pencarian dia dengan menjual pokok bonzai.
















Gambar Raya Cara Kami

Tahun ni tak ada gambar sekeluarga. Umar asyik menolak untuk bergambar di pagi raya..bila dipujuk-pujuk dia setuju untuk bergambar tetapi mesti bersama dengan sepupu rapat dia.

Jadi la gambar berasingan 4 orang.

Tak ada warna tema , semua ikut kehendak masing-masing cuma jubah yang dipakai oleh tuan besar tu adalah pilihan saya, dia tak ikut, jadi kita beli ikut kesesuaian fikiran kita.


Macam belangkas ..Umar dan Iwan

Budak yang paling mudah di ajak bergambar

Bergambar di garaj kereta di rumah Tampin, rumah omak mertuo den

Gambar tak bersedia....susah betul nak bergambar elok-elok






Review Novel Sebenarnya Saya Isteri Dia


Novel ni saya terima daripada adik perempuan saya..baik hati dia belikan untuk kakak dia yang kaki  novel tapi memanjang tak cukup fulus nak beli banyak-banyak.

Kali pertama baca adalah pada malam raya baru ni.

Saya berjaya khatamkan pada hari raya ke 2. ( nampak sangat saya banyak hilangkan diri ketika tetamu berkunjung )

Errr cerita pasal tetamu berkunjung ni,memang tak menang tangan nak melayan sebenarnya. Kami beraya di rumah nenek suami saya , kami panggil wan di Chengkau , Rembau , Negeri Sembilan.

Rumah wan ni memang rumah untuk semua anak cucu berkumpul kala raya. Tetamu yang datang biasanya sanak saudara dari Kuala Lumpur dan Seremban. Mula datang selepas berakhirnya Solat Aidilfitri hingga la hampir waktu Maghrib.

Saya sebagai cucu menantu , kerja-kerja saya hanya mencuci cawan gelas pinggan mangkuk je, kerja-kerja menghidang, membancuh ke apa ke semua di lakukan oleh anak-anak menantu wan. Mana yang bergelar cucu hanya bergilir berdiri di sinki je. 

Aaa time-time orang lain yang berdiri kat sinki, kita pulun la baca novel ni.

Sejujurnya, saya sangat suka novel ni. Cerita bukan la dasat sangat tetapi sampai di hati. Tahniah la untuk penulis novel ini, Zura Asyfar.

Watak Firash sangat membantu menceriakan perasaan saya ketika beraya di Negeri Sembilan. Rasanya mood saya sangat bagus la sepanjang berada di sana.

Firash ni walaupun muda , masih bergelar pelajar, tetapi ada sikap matang dia. Walaupun baran sikit, biasalah darah muda memang cepat menyirap tetapi di sebalik tu dia tau tanggungjawab dia dan peranan dia sebagai seorang suami sekalipun dia tidak begitu ikhlas berkahwin dengan Syaf. Nakal pun ada jugak pada Firash ni, cemburu pun boleh tahan jugak budak ni..ok la cukup sifat la kata orang he he.

Watak Syaf pun saya suka, tenang dan ikut je rentak si Firash ni. Sesuai dengan usia dia yang lebih tua 4 tahun daripada Firash, dia agak matang .

Ending novel ni pun membahagiakan ..pembaca turut tersenyum. Novel ni ringan dan tak perlu kita kusutkan fikiran untuk berfikir itu ini.

Saya cadangkan anda memiliki novel ini  kalau anda masih blur blur nak beli novel apa.

Tahniah Zura!

Umar bakal dapat adik??

Tengok tajuk tu sendiri yang terasa serammmm he he.

Cerita sebenarnya macam ni, Umar ni tetiba buat perangai tak nak pergi tadika sejak balik daripada bercuti raya.

Isnin tu dia menangis 2 kali, ketika dalam kelas dan ketika bersolat. Semalam menangis 3 kali.  Hari ni pulak pagi-pagi dah meraung.

Cikgu tanya kenapa menangis? 

Umar rindukan mama, jawab dia dengan lelehan airmata.

Petang Isnin, ketika masuk kereta, Umar terus bercerita perasaan rindu dia terhadap saya, tersentuh jugak la di hati ini.

Mungkin lama sangat bercuti raya dan seronok balik kampung Atuk dan Uwan , lepas tu balik pulak jumpa nenek di Terengganu. Siap main air ombak lagi kala di Terengganu.

Pagi ni saya masuk lambat sikit ke pejabat ( lambat banyak sebenarnya sebab sekarang ni dah 9.15 saya masih kat rumah tengah update blog he he).

Kebetulan pagi ni kena buat pengesahan untuk kemasukan Umar di Tahun 1 Sek Ren Sungai Tua tahun depan, itu yang sengaja lambatkan diri ke pejabat.

Macam dah faham yang mama dia akan masuk lambat hari ni, Umar meminta saya menghantar dia hingga ke dalam tadika...sampai dalam tadika, cikgu-cikgu mula la bercerita tentang peel Umar sejak Isnin lepas.

Biasalah, bila orang dah bercerita gitu, automatik hati Umar terus jadi cair dan terus mencair apa lagi meraung-raung panggil mama! mama! mama!.Umar nak mama!..sedih pulak rasanya nak masuk kereta.

Saya cerita pada abah Umar tentang peel Umar ni, tak sangka pulak abah Umar ni ada teori tersendiri mengenai perkara ni.

"jangan-jangan Umar nak dapat adik , tak? biasanya budak-budak buat perangai kalau mak dia mengandung lagi"

Teori tu boleh dipakai kalau Umar tu baru umur setahun dua, ini dah nak masuk darjah 1, lagi pun memang tak ada tanda pun Umar nak dapat adik. Pandai betul abah Umar membuat telahan ye!

Mungkin keseronokan beraya masih belum hilang, itu yang membuatkan dia moody untuk ke tadika, minggu depan harapnya segalanya ok dan kembali normal.





Kembali di Selayang Mulia

Jam 3.15 pagi tadi, kami sampai semula di Selayang Mulia....rumah masih berkecah...masih belum ada mood untuk berkemas.

Masih dalam mood rindukan kampung halaman, biasalah balik sesekali , kena pulak balik time raya, kesyahduan yang dirasakan agak berlainan sedikit.

Melihat lambaian mak dan adik membuatkan hati sedikit berair.

Hari ni hari raya 6 , kalau di kampung saya, kemeriahan hari raya 6 sama dengan raya pertama minggu lepas.

Ni ada sekeping gambar saya , suami dan anak-anak serta kakak ipar, anak buah sepupu sepapat di Rembau, ketika raya pertama baru ni.

 saya adalah yang paling banyak makan ruang atas tangga tu 

Ok, semoga semuanya bergembira di bulan Syawal yang mulia ini. Macam biasa, tak dapat nak taip panjang-panjang.

Salam Aidilfitri.



Amalan Sunah Rasulullah s.a.w pada hari raya

1. Mandi sunat hari raya sebelum mengerjakan solat hari raya. 
2. Memakai pakaian baru  - lakukan dengan penuh penghayatan bukan untuk menunjuk-nunjuk. 
3. Makan sebelum pergi solat sunat hari raya. 
4. Banyak bertakbir. 
 5. Saling bermaaf-maafan. 
6. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain. 
7. Memakai pakaian yang terbaik dimiliki pastinya yang menutup aurat dengan sempurna.(tidak semestinya mahal) 
8. Berziarah dan merapatkan ukhwah sesama muslim 

Kesilapan yang dilakukan ketika meraikan hari raya . 

1. Berjabat tangan antara lelaki dan wanita bukan muhrim ketika beraya. 
2. Ipar duai tidak menjaga aurat ketika berada di dalam satu rumah. 
3. Wanita memakai wangian dan solekan yang keterlaluan ketika keluar  beraya. 
4. Wanita memakai pakaian raya yang mendedahkan susuk tubuh dan tidak menutup aurat dengan sempurna 
5. Meninggalkan solat kerana terlalu sibuk beraya. 

Mungkinkah akan berpisah?

Curi masa kejap untuk belek blog sebelum siapkan hidangan bersahur. 

Blog ini mungkin akan ditamatkan selepas berakhirnya tempoh domain pada Mei 2013.

Kenapa saya tulis begini?

Pastinya kerana saya langsung tidak dapat lagi berblog seperti dulu. Lebih baik lupakan terus andainya begini keadaan yang tersurat, tiap tahun perlu bayar untuk domain.

Sepanjang Ramadhan ini , hanya sekali dua je yang mampu menulis entry secara 'terus' selebihnya menggunakan auto publish. 

Menggunakan khidmat auto publish sedikit sebanyak menghilangkan ghairah untuk berblog kerana ianya tidak sama dengan menulis secara terus.

Tadi buka je gmail, mak aiii banyak emel-emel yang tak dibuka sepanjang Ramadhan, tak ada apa yang penting pun kecuali email dari pihak Nuffnang tentang perubahan pada web Nuffnang, agak jakun melihatnya pada kali pertama.

Tentang sahabat-sahabat alam maya, memang saya akui langsung tak tau cerita sebab berbulan-bulan tidak melakukan blogwalking, rasa sangat ketinggalan !

Doa saya semoga sahabat semua dirahmati Allah sepanjang masa dan persahabatan maya kita akan terus subur walaupun tidak berbaja.

Dikesempatan ini juga saya ingin memohon ampun dan maaf sepanjang perkenalan kita...mungkin terlebih awal kerana Syawal belum pun menjengah tetapi kerana masalah untuk berblog menyebabkan saya mengambil langkah pertama untuk memohon maaf.

Semoga kita semua bergembira di Aidilfitri nanti!

Salam Syawal 2013!

p/s; saya akan pulang beraya di Tampin sebelum beraya di Terengganu kali ini!

Tip atasi gastrik di bulan puasa

Ramadhan dah pun melepasi 17 hari, baru teringat nak kasi tip ni he he ..jangan maree...

Rendamkan 3 biji kurma ke dalam air susu suam selama 10 minit, sebelum waktu berbuka. Bila masuk waktu berbuka, makan kurma tersebut dan selepas itu minum lah susu itu. 

"Anak-anak Syurga" oleh Ibnu Ahmad Al Kurauwi

ANAK-ANAK syurga. Mereka bukanlah malaikat. Mereka manusia yang baru mengenal dunia. Belum sempurna agama. Maka tidak hairan, ada yang putih akhlaknya, tidak kurang yang hitam warna nakalnya. Ibu-ibu syurga mendidik anak-anak syurga yang hitam dengan sabar, menyambut yang putih dengan syukur. Anak syurga yang hitam bangun daripada liat subuh yang kelam, kini bertatih terkial-kial membersih diri. Kadang-kadang sempat tersengguk di gigi air. Bapa-bapa syurga tidak kalah memujuk anak-anak syurga; bahawa di sebalik kelam fajar, ada pahala yang besar. Balasannya syurga yang benar!

Anak-anak syurga mahu dikelek ke rumah Tuhan. Melihat rumah Tuhan, laksana syurga yang indah lagi terbentang luas. Kata anak-anak syurga, “Bukankah telah difirmankan Tuhan bahawa syurga itu luasnya seluas langit dan bumi.” Maka tidak hairan, laman masjid, kerap menjadi trek lumba lari berganti-ganti. Mimbar kadang-kadang menjadi acara sembunyi-sembunyi. Mihrab kadang-kadang menjadi tempat mereka beraksi. Kata anak-anak syurga lagi, “Bukankah, dinding-dinding syurga itu batu-bata daripada perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za’faran) dan buminya kasturi.”

Ibu-ibu syurga jegil mata. Meletak jari telunjuk ke bibir retak. Mengetap gigi memandang ngeri. Lantas membimbing anak-anak syurga ke saf solat yang pertama. Bapa-bapa syurga meluruskan saf anaknya dalam baris dewasa agar lekas matang agamanya. Kata bapa-bapa syurga, “Anak-anak syurga, safnya bukan bersama-sama rakan sebaya yang piatu tanpa kehadiran bapa dan ibu”. Kata ibu-ibu syurga, “Jangan memandang anak-anak syurga dengan amarah kerana merekalah yang mengajarkan anak-anak syurga akan taharah. Kata bapa-bapa syurga, “Jangan pujuk anak-anak syurga dengan laku yang buruk kerana merekalah yang memastikan sempurna segala wuduk.”

Penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan mengurut dada sambil merungut berjela-jela. Ada yang membenci mereka bagai melihat khinzir terlepas ke dalam huma. Penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan kemudian mengusir anak-anak syurga, mengeji ibu bapa syurga kadang-kadang dengan bahasa ahli neraka. Kata mereka, anak-anak syurga itu najis! Kemudian bangga meletakkan papan tanda bahawa masjid dan surau hanya zon orang tua!

Anak-anak syurga bukan jin ataupun syaitan. Mereka manusia yang baru mengenal Tuhan. Kita, si penjaga rumah Tuhan, pemakmur rumah Tuhan yang kononnya sempurna agama, kadang-kadang berakhlak macam haiwan. Akhirnya anak-anak syurga memendam perasaan. Mahu diadunya kepada Aki dan Tok Wan lalu berlari pulang menyeberang jalan. Kenderaan bersimpang-siur ke kiri dan ke kanan. Anak-anak syurga melintas jalan dan asbab kepada sebuah takdir, sebuah kereta putih berbumbung hitam meragut nyawa anak-anak syurga. Luluh hati ibu syurga menyambut khabar dengan sabar. Alhamdulillah, puji bapa syurga meriba anaknya dengan linangan air mata. Kata ibu bapa syurga, “Innalillah, sesungguhnya kami hamba-Mu yang reda!”

Benarlah sabda Nabi, “Apabila anak seorang hamba itu mati, maka Allah SWT berkata kepada malaikat-Nya: Kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku. Jawab para malaikat; Benar! Berkata Tuhan lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya. Jawab para malaikat: Benar. Berkata Tuhan pula: Apa kata hambaku? Jawab para malaikat: Mereka telah memuji-Mu lalu mengucapkan Innalillah…, Berkata Tuhan: Dirikan bagi hambaku sebuah istana di syurga dan namakan istana itu dengan nama “Bait al-Hamd.” Hadis riwayat al-Termizi dan Ibn Hibban.

Bersin dan Menguap

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: 
"Sesungguhnya, Allah menyukai perbuatan berisan dan benci akan perbuatan menguap" (Riwayat Al Bukhari) 


Bersin yang disukai Allah 
1. Ucapkan Alhamdulillah 
 Rasulullah s.a.w berpesan yang bermaksud: 

"Apabila salah seorang antara kamu bersin, maka hendaklah ia mengucapkan "Alhamdulillah". (Riwayat Al Bukhari). 

Kita perlu bersyukur kerana bersin adalah bermanfaat kepada kita, mengikut kajian ,bersin berfungsi mengeluarkan  banyak virus dan bakteria yang hendak memasuki dna merosakkan badan kita. Alhamdulillah! 

2. Tutup mulut, perlahankan suara. 
Seorang sahabat Rasulullah s.a.w menceritakan: 
'Apabila Rasulullah s.a.w hendak bersin, baginda meletakkan tangannya atau kain baju ke mulutnya (untuk menutup mulut) sambil memperlahankan bunyi bersin. 

3. Doakan saudara kita 
Pesan Rasulullah s.a.w yang bermaksud: 
"Apabila ada seseorang antara kamu yang bersin lalu dia mengucapkan "Alhamdulillah" maka tashmitkan dia, yakni mengucapkan "yarhamukallah" (semoga Allah merahmatimu). Tetapi jika dia tidak mengucapkan "Alhamdulillah" maka janganlah kamu doakannya . (Riwayat Muslim) 


MENGUAP 
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: 
"Menguap adalah daripada syaitan" (Riwayat Al Bukhari) 


"Apabila ada sesiapa antara kamu hendak menguap,tahanlah (daripada menguap) dengan sedaya upaya mungkin. Sesungguhnya apabila sesorang itu menguap sambil berbunyi "ha" maka syaitan akan mentertawakannya". (Riwayat Al Bukhari) 

"Jikalau ada sesiapa antara kamu yang hendak menguap, maka hendaklah dia meletakkan tangannya di mulutnya.Sesungguhnya syaitan akan masuk ke dalamnya apabila dia menguap (jika mulut tidak ditutup)" . (Riwayat Muslim) 

Nadhirah Yasmeen sudah 9 tahun!

Alhamdulillah....syukur kepadaMu kerana masih lagi memberi peluang kepada kami anak beranak menghirup kebahagiaan.


Hari ni genaplah 9 tahun usia anak sulong saya, Nadhirah Yasmeen.


Semoga Allah merahmati beliau...semoga usia dipanjangkan ini adalah usia yang memberi kebahagiaan buatmu, anak ku!


Doa dari seorang ibu sentiasa inginkan anaknya hidup di dalam keberkatan dan rahmat Allah, semoga dirimu menjadi anak solehah yang sentiasa cintakan Islam.


**Gambar lama - ini je yang sempat di cari , biasalah update mencuri masa Umar tidur!





SEJARAH PENURUNAN AL QURAN ( CATATAN SEMPENA NUZUL AL QURAN)

Bulan puasa tak boleh dipisahkan dengan cerita sejarah turunnya Al Quran. Jom kita baca serba sedikit tentang turunnya Al Quran. 

Sebelum Al Quran diturunkan, Allah s.w.t telah menetapkannya di Lohmahfuz. 

Sepertimana firman Allah yang bermaksud: 


"Bahkan ialah AlQuran yang tertinggi kemuliaannya, (lagi yang terpelihara dengan sebaik-baiknya) pada Lohmahfuz". (Surah al-Buruh 85:21-22) 


Al Quran diturunkan sebanyak 2 kali . 

Kali pertama Allah s.w.t menurunkan al-Quran dari Lohmahfuz ke Baitul Ma'mur. 

Baitul Ma'mur ialah tempat para malaikat bertawaf. 

Di sana , Allah telah menurunkan sedikit demi sedikit kepada Rasulullah s.a.w mengikut tahap kemampuan Baginda yang mengambil masa selama 23 tahun untuk menghabiskan keseluruhan Al-Quran. 

Penurunan AL_quran menggunakan dua lafaz. 
1. Inzal - keseluruhannya 
2. Tanzil. - sedikit demi sedikit 

Peringkat pertama penurunan dari Lohmahfiz ke Baitul Ma'mur. 
Firman Allah mafhumnya: 

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al Quran itu pada malam yang berkat kerana sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran." 
(Surah al-Dukhan 44:3) 

Al Quran diturunkan keseluruhannya dari Lohmahfuz ke Baitul Makmur. 

Peringkat kedua penurunan, dari Baitul Ma'amur kepada Rasulullah s.a.w secara sedikit demi sedikit seperti mana firman Allah s.w.t mafhumnya: 

"Dan Al Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepad amanusia dengan perlahan-lahan, dan Kami menurunkannya beransur-ansur." ( Surah al-Isra' 17:06) 

Mengapa Al Quran diturunkan ke Baitul Ma'mur terlebih dahulu? 
Tiada siapa yang boleh menjelaskan sebab Allah menurunkan Al-Quran ke Baitul Ma'mur terlebih dahulu. Namun ada sesetengah ulama seperti Abu Shamah mengatakan bahawa Al-Quran ialah satu kitab yang mulia dan tinggi darjatnya. 

Jadi untuk memuliakan Al Quran, Allah s.w.t telah menunrunkan Al Quran di tempat para malaikat berkumpul dan Allah s.w.t juga ingin memberitahu bahawa Al-Quran ialah kitab terakhir yang akan diturunkan kepada manusia supaya dijadikan petunjuk. 

Allah juga ingin menerangkan kepada manusia bahawa Al-Quran ditempatkan di tempat-tempat yang mulia iaitu Lohmahfuz, Baitul Ma'mur dan seterusnya di dalam hati Rasulullah s.a.w.. 

Bila Al-Quran Diturunkan? 
Kali pertama pada malam Lailatulqadar ke Baitul Ma'mur, kali kedua juga Allah turunkan pada malam LailatulQadar kepada Rasulullah s.a.w. 

Sumber Majalah Solusi

Cara pakai tudung Aidijuma 205

Hanya sehelai tudung tanpa inner, boleh ikut cara di bawah ye bagi yang berminat nak pakai macam Datin ni..