31 October 2012

Hamil Di ambang 40 & Obesiti

Minggu ni adalah minggu ke 7 kandungan saya. Alhamdulillah setakat ni segalanya baik-baik saja.

Disahkan hamil kala usia mencecah 40 tahun dan paling rumit bila masalah obesti kekal membelenggu diri ketika ini.

Apa pun saya tak boleh membiarkan diri saya diulit kerisauan berpanjangan. Kalau boleh nak lalui tempoh 9 bulan 10 hari ini dengan penuh ketenangan.

Apa yang boleh saya lakukan saat ini adalah menjaga pemakanan sebaik mungkin, makan makanan berkhasiat yang mana mungkin makanan itu bukan makanan kegemaran saya sebelum ini.

Sepertimana kehamilan saya sebelum ini, untuk trimester pertama ini saya akan mengalami masalah mual-mual dan loya bila menjelang petang..biasanya lepas je lunch hour, perasaan nak demam, nak baring, nak tidur, mual loya semua silih berganti.  Tapi saya tidak pernah muntah-muntah..setakat loya dan mual-mual je.

Pagi biasanya saya sambut dengan hati yang tenang dan lega.

Selera makan memang hilang-hilang timbul untuk trimester pertama ni...selalunya hilang selera la. Alah pada bau masakan tertentu dan paling saya tak suka adalah bau aroma ayam goreng berempah, sama seperti dulu juga. Selera saya akan mencanak bila masuk 4 bulan ke atas, saya kena berhati-hati kali ni dengan nafsu makan yang menggila ini!

Saya tak suka membaca nampaknya sejak awal-awal lagi, novel memang saya dah simpan kejap dalam kabinet, majalah-majalah yang berilmiah tetap saya baca sikit-sikit walaupun penuh dengan rasa keterpaksaan. Namun begitu, saya lega kerana saya tidak pula merasa benci dengan Al Quran, ada jugak la perkara berfaedah yang boleh dilakukan saat begini, mungkin satu peringatanNYA untuk saya juga.....terlalu ralit dengan novel sebelum-sebelum ni.

Mengadap blog pun bukan lagi kegemaran saya...rasa mual dan kembang tekak...tapi mengenangkan kehamilan sebelum-sebelum ni saya tak pernah ada blog, jadi amat penting untuk saya mencatat apa jua yang ingin saya catatkan sepanjang kehamilan kali ni.

Mulanya saya dah cukup senang dengan sepasang cahayamata tetapi keinginan suami yang begitu meluap-luap untuk menimang cahayamata lagi mengubah keinginan saya tu, malahan sekarang agak teruja kerana Umar pun dah besar, tahun depan dah sekolah rendah dah pun.

Saya belum melakukan pemeriksaan di klinik ibu mengandung secara berkala, nasihat sepupu saya yang seorang bidan di sebuah Klinik Desa di Terengganu agar segera ke klinik ibu mengandung kerana saya sedang menghadapi masalah obesiti. Tentang usia tidak menjadi masalah,katanya. 

Ada tak sesiapa yang pernah menghadapi situasi seperti saya, hamil ketika menghadapi masalah obesti? Sila la kongsi-kongsikan ye! Terima kasih banyak-banyak.

p/s: doakan saya tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.


24 October 2012

Anugerah dan Ganjaran Istimewa|Syukur Ya Allah!

Syukur ke hadrat Illahi kerana menganugerahkan saya dengan anugerah-anugerah tak ternilai ini, semuanya di dalam bulan Oktober.


Anugerah dan Ganjaran Pertama 

15 tahun setia bersama syarikat, Oktober ini genap 16 tahun perkhidmatan saya

Anugerah dan Ganjaran Kedua


Cek dari Nuffnang untuk tempoh berblog antara Oktober tahun lepas hingga September tahun ni .


Anugerah dan Ganjaran Ketiga


BE terbaru dari NUFFNANG



Anugerah dan Ganjaran Keempat


Anugerah Ilahi yang sungguh bermakna.......menggembirakan seluruh ahli keluarga.

Syukur tak terhingga saya ucapkan kerana menerima keempat-empat  anugerah ini hampir pada masa yang sama.

p/s: terjawab la kehairanan saya terhadap kebencian saya pada novel hu hu.


23 October 2012

Takziah untuk Blogger Teratak Hami

Saya akui dah lama betul tak blogwalking ke blog sahabat-sahabat...tak perlu bagi alasan sebab apa pun boleh jadi alasan :(

Sejak minggu lepas lagi , ada rakan blogger memberitahu berita tentang pemergian suami kepada blogger Teratak Hami.

Kebetulan hari ni saya bercuti kerana Nadhirah ada appointment dengan Dr Ruzini, di Pusrawi, dapatlah saya menziarahi blog Teratak Hami untuk mengetahui cerita sebenarnya.

Berjuraian airmata membaca entry beliau itu...KLIK SINI UNTUK BACA . Terimbas kembali kepada kenangan lalu ketika saat arwah ayah saya meninggalkan kami semua masih kecil.

Betul, kematian tidak mengenal usia...datang tanpa terlewat atau tercepat barang sesaat pun..terasa diri sangat kerdil disisiMU, Ya Allah.

Semoga blogger Teratak Hami sekeluarga tabah menghadapi ujian ini. Ya...kata-kata yang terlalu klise tetapi  itu doa ikhlas dari kami semua. Bukan senang nak menghadapi saat getir sebegini. TIdak semudah mata yang memandang.

Semoga roh arwah suami blogger Teratak Hami ditempatkan bersama roh golongan mereka yang beriman dan beramal soleh.

Semoga beliau terus diberi kekuatan mengharungi kehidupan yang penuh dugaan ini bersama anak-anak yang masih kecil.

Kita tidak tau apa yang akan berlaku pada diri kita pada hari esok. Tugas kita menyiapkan diri dengan bekalan secukupnya. Bekalan untuk kita yang pergi dan untuk mereka yang ditinggalkan.

Al Fatihah..


22 October 2012

Novel-novel Dhiya Zafira

Ni novel-novel tulisan Dhiya Zafira yang terdahulu sebelum saya mengenali novel Jauh Kau Pergi, Hati Bergetar Rindu, Jiwa Kacau dan Tertulis Buat Kita.

3 novel ni bukan saya beli...sahabat yang belikan...dah ada ditangan saya dah pun .

Cuma......sejak wabak malas membaca novel datang melanda sejak beberapa minggu ni,novel -novel ni hanya saya pandang sepi, dah jamah-jamah tapi macam malas nak buka untuk baca..kesudahannya masuk kabinet jugak.

Kata sahabat saya, antara 3 ni, novel Rindu Belum Berhenti yang paling best.

Saya akan baca ketiga-tiga novel ni kemudian, buat masa ni sekadar memandangnya je dulu..ambik mood.





21 October 2012

Novel Kalau Memang Harus begitu|Acik Lana


Novel ni dibeli oleh makcik saya minggu lepas, sekarang sudah pun berada ditangan saya...agak tebal seperti novel-novel Acik Lana sebelum ni.

Dah pun memulakan proses pembacaan tetapi baru 10% yang pertama, novel ni kembali saya simpan..saya rasa jalan cerita ok tetapi semenjak dua menjak ni, tabiat pembacaan novel saya agak bertukar 100% yang mana - baca sikit, stop dan simpan.

Begitu la juga yang terjadi pada novel I love You, Stupid!....baca beberapa puluh helaian, stop, kesudahannya novel masuk kabinet.

Adakah saya sudah jemu dengan novel? Hmm saya sendiri tak pasti.

Setakat yang saya dah baca dengan novel "Kalau Memang Haru Begitu" ini, ianya seperti saya dapat menelah apa kesudahannya...permulaannya Adara dimaki hamun oleh Putra, kemudian mereka akan bercinta, berkahwin dan pastinya ada dugaan dan ujian yang bakal ditempuhi oleh mereka sebelum berkesudahan dengan episod bahagia.

Saya akan menyambung semula proses pembacaan, tapi bukan sekarang kerana masih di dalam mood tak menentu bila melihat novel...mungkin tunggu mood membaca kembali ghairah.

Untuk Acik Lana, semoga sukses selalu, Kak Aya baca semua novel Acik Lana sebelum ni, Kak Aya suka! Untuk kali ni, Kak Aya memohon waktu untuk membacanya dan Insyaallah akan tulis review di sini seperti selalunya.


20 October 2012

Ujian Penentuan Kelas Tahun 1 2013|Umar Faris


Besar pencil box Umar, dalam tu semua ada, pensil, pemadam, pembaris dan pensil warna,

Ni cerita pagi minggu lepas ( Sabtu). 

Ujian penentuan kelas bagi Tahun 1 2013 dijalankan di Sekolah Rendah Sungai Tua Baharu, tak jauh pun dari rumah, sama sekolah la dengan Nadhirah.

Risau dan cuak sedari awal lagi sejak mula-mula mengetahui Umar akan menghadapi ujian ini, perasaan tu hadir kerana saya dah terlebih masak dengan perangai Umar, buatnya dia tak nak buat ujian tu kerana ibubapa sudah tentulah tidak boleh menemani anak-anak ketika ujian dijalankan. 

Saya memang berdoa panjang sejak mengetahui tarikh 13/10/2012 adalah hari ujian untuk Umar. Berdoa agar dia tenang bila ditinggalkan dan boleh berlapang dada menghadapi keadaan itu. Dia tu memang sukar diduga. Kakaknya pun kerap menasihati si adik dengan kata-kata nasihat yang sangat manis ditelinga adiknya..ujian tu senang je, dik...nanti kalau dapat jawab semua betul, adik dapat masuk kelas SETIA macam kakak, nanti adik duduk kelas paling pandai, bla bla ...si adik buat muka toya je.

Pada hari sebenar, mulanya dia memang kelihatan sangat sebak dan takut-takut bila guru meminta ibubapa meninggalkan anak-anak dan sila ke dewan kerana ada majlis bersama ibubapa.

Dia menarik baju saya meminta jangan ditinggalkan atau dia tak payah buat ujian tu, matanya bergenang dengan airmata.

Saya pujuk dia dengan mengatakan kakak akan menemaninya diluar kelas. Nampaknya dia agak lega kerana melihat dengan jelas Nadhirah setia berdiri dikoridor kelas.

Selepas saya meninggalkan kelas tersebut, abahnya diam-diam mengintip Umar, nampaknya dia dapat menghadapi kertas ujian dengan tenang dan penuh keyakinan. 

Dia antara yang terawal siap menjawab kesemua soalan, tak pasti la dapat jawab dengan betul atau sekadar hentam keromo, apa pun saya bangga di atas keberanian dia tu.

Keputusan dikelas manakah beliau pada tahun 1 nanti hanya akan diketahui pada pertengahan Disember nanti. Saya doakan yang terbaik untuk Umar.

Ramai betul pelajar tahun satu yang akan bersama-sama dengan Umar di sekolah tersebut, seramai 390 pelajar.

Bermakna untuk Tahun 1, akan ada sebanyak 10 kelas.

Pada 10/11/2012 nanti, ujian untuk penentuan kelas di sekolah agama pula .

Ada tak anak sahabat semua yang menduduki ujian seperti Umar ni? ada sesetengah sekolah, ujian dijalankan pada hari pertama persekolah bermula.






Bersyukur Saat Diuji|Muhammad Kamil Ibrahim


Ni bukan buku yang saya beli tapi buku pinjam...biasalah sahabat baik saya tu ada macam-macam jenis buku, pelbagai genre, tinggal rajin atau malas je nak baca...yang selalunya saya rajin nak pinjam adalah novel hi hi , sesekali kena jugak balancekan dengan buku-buku motivasi, buku-buku agama.

Ok, sebab mungkin dah makin sedor diri yang dah lama bahan bacaan saya agak berat sebelah, asyik pilih novel, tergerak hati nak pinjam buku selepas dah lebih seminggu saya perasan buku ni ada di atas meja dia.. meja kerja adalah di depan saya je.

Kebetulan hari tu , dia bercuti...saya sms bagitau nak pinjam bawak balik...dia membalas, "ambikla, bagus buku tu untuk orang yang macam kita ni.."

Hmmm macam ada satu arahan yang kuat untuk saya membaca buku ni.

Balik rumah terus baca dan khatam malam tu juga. Dan nekad, akhir bulan ni saya mesti beli buku ni dan juga buku lain tulisan Muhd Kamil Ibrahim ni.

Buku "Bersyukur Saat Diuji", menceritakan kisah sebenar yang dilalui oleh Dr Muhd Kamil, bagaimana beliau sekeluarga diuji dan bagaimana mereka menerima ujian tersebut.

Ada part-part yang begitu menyentuh perasaan dan emosi, memberikan keinsafan kepada saya..betapa selama ni saya sendiri tidak perasan betapa saya selalu memandang negatif kepada setiap ujian yang datang dan selalu merasakan ujian itu adalah satu perkara yang menunjukkan kerugian dan kehilangan sedangkan nikmat yang sedang kita lalui pun satu ujian sebenarnya.

Saya cadangkan anda membaca buku ini andainya masih belum membacanya, andainya sudah membaca jauh terlebih dulu berbanding saya, tahniah untuk anda! Buku ini memberikan kesan yang sungguh mendalam kepada saya terutama bab istiqomah dalam berdoa dan kebesaran-kebesaran Allah..sekali lagi, sangat menginsafkan!.


16 October 2012

Minggu Exam Bermula|Tak dapat Online

Komputer ni dah menjadi milik saya tetapi minggu ni dah start exam akhir tahun, kita yang tak ada kena mengena dengan exam pun terbabit sama.. yelah, anak nak periksa takkan mama sakan mengadap blog, kan?

Nak tak nak, terpaksalah tahan dulu keinginan untuk berblog..lepas makan malam terus temankan Nadhirah mengadap buku ..

Puku 9.30, dah masuk tidur..awal kan? Anak-anak memang sesuailah tidur kala gitu tetapi mama dia yang konon-konon nak temankan anak-anak tidur nampaknya yang terlena paling awal. Letih la sejak akhir-akhir ni.

Minggu ni sibuk dengan peperiksaan sekolah kebangsaan, minggu depan diikuti dengan peperiksaan sekolah agama pula...minggu lagi satu dah cuti raya haji....lama jugak la nampak gayanya ni saya bercuti daripada berblog kalau tak pandai curi-curi masa.

Ok, saya masih belum dapat blogwalking setakat ni..Insyaallah lain kali, saya doakan sahabat blogger semua berada di dalam keadaan sihat dan dirahmatiNya selalu.

Terimakasih sudi datang sini.

13 October 2012

Novel I Love You, Stupid! | Melur Jelita

Selepas novel Awak Suka Saya Tak menjadi fenomena, kini muncul pula novel terbaru Melur Jelita, I LYS ( malas nak taip, panjang sangat tajuknya)

Sebenarnya saya belum mula membaca novel ni...nanti dah baca saya akan buat review sikit ( kalau ada kekuatan melawan sikap malas la)

Kali ni saja je nak tunjuk novel tu...tebal betul novelnya..mungkin sebab tu la sampai sekarang saya masih belum mula membacanya.Jumlah muka suratnya adalah 1389, tebal kan?

Dhirah cakap berat novel ni sama dengan berat beg sekolah dia!

Memang Tebal




12 October 2012

Sesak Sana Sini

Dah 2 hari saya sampai lewat ke pejabat manakala petangnya pula saya sampai lewat ke tadika dan sekolah anak-anak walhalnya waktu keluar rumah dan waktu keluar pejabat ngam-ngam pada waktunya.

Pelik bila dah 2 hari berturut jalan sesak bermula Taman Koperasi Polis Fasa 2 dan akan clear bila sudah memasuki Sentul Link. Dari Taman Koperasi Polis Fasa 2 hingga ke Sentul Link memakan masa hampir 1 jam lamanya. Sekarang ni sekolah menengah sedang bercuti kan? PMR dah bermula, patutnya jalan tak ada lah sesak macam 2 hari ni.

Kaki kiri pastinya kebas kalau berlama-lamaan berada di dalam kesesakan begitu. Petangnya pula sesak bermula daripada depan Istana Lama hingga lah ke Jalan Kuching..aduhhh beginilah keadaannya kalau tinggal di bandar-bandar besar, kalau tak nak sesak, balik tinggal di Terengganu je la.

Kalau dah terlewat sampai rumah, badan dan minda memang sangat letih dan penyakit malas nak masak akan memenuhi setiap ruang diri . Macam petang semalam , saya memang ikut rasa malas dan letih, lepas solat Maghrib, keluar makan tak jauh dari rumah. Tapi malam ni perasaan malas tu kalah nampaknya, saya masak nasi, kari ikan merah dan goreng ikan kurau, sayur tak ada...

Lepas makan malam terus lepak keletihan bercampur baur dengan rasa kenyang. 

Tuan rumah mengingatkan - dah dapat berblog, jangan malas-malas nanti blog tu bersawang, tak ada sapa sudi datang nanti!

Oleh kerana tak nak jadi isteri yang tak taat, makanya saya tercongoklah depan PC ni ....memanjangkan silaturrahim antara kita para blogger.

p/s: Malam ni semua kena tidur awal kerana awal pagi esok, kami semua akan temankan Umar ke sekolah kebangsaan untuk Hari Suai Kenal...Umar perlu menduduki ujian untuk menentukan kelas. Semoga Umar tak buat perangai yang luar biasa pagi esok.






11 October 2012

Kembali Kepangkuanku

Lama betul saya tak dapat bermesra dengan blog seperti dulu-dulu...rindu gila nak kembali aktif dan kalau boleh nak dapat income dari Nuffnang. ( sebut pasal nuffnang ni, saya baru dapat cek kedua selepas beberapa tahun  bersama blog ni, terimakasih Nuffnang!)

Beberapa hari lepas tuan rumah membuat keputusan untuk membelikan 1 Android terpakai untuk kedua anak kesayangan. Jadi bila dah dapat hadiah yang menjadi igauan mereka selama ni,  mereka ni tidaklah berminat lagi dengan PC buruk yang sangat penting untuk mamanya.


Alamak! seksala Umar...

Tuan rumah dah menetapkan , mereka berdua diberi masa selama 30 minit seorang setiap malam dan 1 jam pada hari cuti sekolah untuk menggunakan benda alah tu. Paling penting tuan rumah menegaskan, PC hanya untuk ABAH dan MAMA.

Bermaknanya, saya dapat berblog pada bila-bila masa terluang saya dan mengikut mood dan kerajinan saya.


Jendela Hidup melalui skrin PC ku, nampak macam tak bermaya je gambar ni

Selepas ini, cabaran yang mungkin wujud adalah nak cari idea untuk entry.

Terimakasih untuk tuan rumah yang memahami keperluan seorang blogger di dalam rumah 
ni!


09 October 2012

Bak pohon subur merendang.

Dah penat tayang gambar novel untuk dijual, sekarang tayang diri sendiri pulak.

Nak tunggu kurus, gamaknya sampai bila-bila pun tak muncul-muncul wajah sendiri di blog ni.

Jadi, mana yang lalu nak pandang wajah tuan blog ni, pandang la dengan penuh rasa kasih sayang he he....yang rasa tak lalu tu, sila klik X di hujung kanan atas laptop anda ye!

Bye..
Eh eh ada tuan rumahla kat belakang...

p/s: sedang menunggu tuan rumah bersiap..nak keluar makan malam kat kedai Sup 88, Selayang Baru.


Cantiknya Erra Fazira dan Aleesya|Gambar terbaru






08 October 2012

NUFFNANG: Unique Visitor = 0 ---> Sejarah Tercipta!



Tak ada sapa dah ke yang sudi bertandang ke blog ni? Hu hu sedeyy...

Alamak orang dah tak jumpa jalan lagi dah nak datang rumah maya saya nih!

Hmm tak apa, nampaknya saya perlu bersihkan semula semak samun debu debu untuk bagi clear semula jalan nak ke rumah saya ni....rumah ni pun agak bersawang...nanti saya bersihkan perlahan-lahan.

Jemput datang ye nanti!

06 October 2012

Review Novel Calon Jodoh Untuk Adik |Areila Sahimi

Novel seterusnya yang selamat dikhatamkan minggu ni..

Saya membaca kesemua novel tulisan Areila ni....tulisannya santai dan ringan, namun ada mesej tersendiri.Kali ni dengan tema abang angkat, hubungan persahabatan dan kekeluargaan.

Ni sinopsis novel ni:
Kisah keluarga Arissa yang penuh dengan drama.Azmer yang terpaksa menggalas tanggungjawab besar sebagai ketua keluarga setelah kematian orang tua mereka inginkan yang terbaik buat adik bongsunya, Arissa. Sementelah nyawanya tidak panjang akibat penyakit yang dideritainya. Bagi Arina pula, dia mahukan adiknya, Arissa berkahwin dengan orang yang berpangkat supaya hidup terjamin di masa hadapan.

Kisah bermula apabila Khairil Izlan (Ee) terheret ke dalam rancangan Azmer. ‘Mengangkat’ Arissa yang sudah besar panjang itu untuk menjadi adik, adalah sesuatu yang langsung tidak masuk akal. Khairil Izlan dan Arissa pun bukan boleh bertentang mata. Pendek kata, pantang berjumpa pasti meletus perang dunia! Mengenangkan itu adalah wasiat terakhir Azmer merangkap rakan baiknya, Khairil Izlan terpaksa akur dalam tak relanya itu. Menjadi abang kepada Arissa bukanlah mudah. Budak tu bukan boleh ditegur. Pantang ditegur ada sahaja ‘tembakan peluru torpedo’ yang keluar dari mulutnya. Berbisa dan pedas. Sabar Ee…. Bersabar itu separuh daripada iman.

Arissa pula… sumpah! Hidup dia jadi tak tentu arah apabila Abang Azmer menyahut panggilan Ilahi. Pulak tu wajib menerima Abang Ee sebagai abang angkat. Memang dia mengamuk tahap gaban ketika itu. Abang Ee nak gantikan tempat Abang Azmer? Huh! Kirim salamlah awal-awal! Jangan harap dia terima Abang Ee! Tetapi, lama-lama dia boleh terima kehadiran Abang Ee apabila lelaki itu sering menolongnya sama seperti arwah Abang Azmer yang sentiasa berada di sisi Arissa apabila dia memerlukan seseorang dalam kehidupannya. Abang Ee taklah seteruk yang disangka. Abang Ee baik sebenarnya.

Arina pula mula tak sedap hati. Dia dah ada calon untuk digandingkan dengan Arissa. Fariz, berjawatan besar… sudah tentulah gajinya pun besar. Memang sesuai sangat untuk disatukan dengan Arissa. Cuma Arissa aje yang macam tak berkenan apabila kakaknya itu cuba kenenkan dirinya dengan Fariz. Tapi, dia cuba berkawan dengan Fariz dulu. Ambil hati Kak Ina yang bersusah payah carikan calon untuk dirinya. Terus terang, Arissa cuma perlukan abang aje dan tak mahu ada ‘kakak’ yang lain. Cukuplah ada Kak Ina, tak perlu ada Kak Maisarah. Sakitnya hati bila Abang Ee berbaikbaik semula dengan Kak Maisarah kerana dia tahu, sekarang ini hatinya sudah jatuh sayang pada Abang Ee. Habis tu, Fariz macam mana? 

Hmm nak tau keseluruhan cerita, boleh beli novel ni....nak beli dengan saya pun boleh , 20% diskaun + RM5 kos poslaju...berminat sila sms 017-3416762.

01 October 2012

Sihat Langsing Cara Sari Yanti|Majalah RAPI Sept 2012

Baru ada masa nak update rutin penjagaan kesihatan dan tubuh badan yang diamalkan oleh Sari Yanti. 

** maaf la tak dapat nak masukkan gambar Sari Yanti di dalam majalah RAPI sebab muka comel Sari Yanti ni telah di 'touch up' kan lagi oleh Nadhirah...

Saya menceduk  soalan dari pihak RAPI untuk SARI YANTI, dan ini adalah jawapan beliau:

 Apakah rahsia yang Sari amalkan untuk mengekalkan bentuk badan walaupun dah mempunyai 2 orang anak?

Sebenarnya tiada apa-apa rahsia yang saya amalkan untuk mengekalkan berat badan ideal namun saya seorang yang gemar makan buah-buahan. Boleh dikatakan buah-buahan adalah makanan ruji saya setiap hari. Saya tidak kisah kalau tidak dapat makan nasi asalkan dapat makan buah-buahan. kadang-kadang dalam sehari saya akan memakan 5 jenis buahan. Paling tidak pun sebiji buah mangga. Peti sejuk di rumah sentiasa penuh dengan buah-buahan.


Bagaimana pula dengan senaman?

Jujur saya katakan saya bukanlah seorang yang suka bersenam. Salah satu faktornya adalah kekangan dari segi masa. Bagi menggantikan senaman, aktiviti naik turun tangga yang saya lakukan untuk mengeluarkan peluh di samping menguatkan stamina . Seminggu sekali saya akan berenang bersama anak-anak.

Bagaimana Sari menjaga kulit wajah dan rambut?

Bisanya saya hanya melakukan rutin penjagaan wajah yang asas. Saya tidak pernah melakukan rawatan di salon sebab saya tidak sanggup menunggu lama.Dari segi penjagaan rambut pula, sepanjang hidup saya tidak pernah melakukan sebarang rawatan rambut di salon.


Ok - nampaknya Sari Yanti sangat sukakan buah-buahan...patut nampak kulitnya mulussss je.


Majalah Anjung Seri Oktober 2012



Inilah cover terbaru Majalah Anjung Seri keluaran Oktober 2012, baru je beli kat pasar semalam, baru belek sikit-sikit je...kena tunggu masa sesuai untuk bersantai melihat deco di dalam majalah ni.

Tajuk di cover tu - 'berdikit-dikit dahulu ' memang kena la dengan keadaan saya...serba serbi berdikit untuk pastikan hiasan di dalam rumah menepati apa yang diidamkan.

Apa pun Majalah Anjung Seri banyak memberi inspirasi di dalam menata gaya hiasan rumah walaupun hingga kini penataan saya tiada penghunjungnya...

Selamat Membaca.

Review Novel Tertulis Buat Kita|Dhiya Zafira

Akhirnya  selesai juga saya membaca novel terbaru Dhiya Zafira, Tertulis Buat Kita yang mana novel ni merupakan sekuel kepada novel Jauh Kau Pergi.

Novel Jauh Kau Pergi pernah menghantui perasaan saya kejap dulu...kali pertama saya baca novel thriller romantik sebegitu...sangat mencemaskan bila babak Afi kena culik di hujung-hujung cerita, terasa kebas satu badan kerana terlalu menahan 1001 perasaan....pendek kata macam saya la yang kena culik tu...dah le watak Afi dan Rif tu sangat-sangat la kena antara satu sama lain..mereka yang dah baca novel ni pasti tau, apa maksud saya mereka ni 'pasangan yang sangat kena'.

Novel Tertulis Buat Kita adalah berkisar tentang kisah hidup Jimmy a.k.a Mejar Najmi Hariri, kawan baik Rif dan abang kepada Afi. Sebelum ni, kisah Jimmy tak sebanyak kisah Rif dan Afi, kali ni memang penumpuan watak banyak diberikan kepada Jimmy. Selain itu, ada sambungan kepada kisah selepas tragedi penculikan Afi dulu . Masih ada saki baki penjenayah yang masih hidup dan pastinya masih mendendami Jimmy dan geng.

Mungkin saya dah terlalu memberi sepenuh tumpuan dan penghayatan serta debaran yang menggila untuk novel Jauh Kau Pergi, saya seperti bersalah pulak kerana tidak begitu 'terasa' dengan novel Tertulis Buat Kita, namun novel ini tetap saya suka kerana ianya bukan seperti kebanyakan novel lain di pasaran sekarang yang masih lagi hangat dengan kisah -kisah kahwin paksa. Novel ini tetap ada keistimewaan tersendiri.


Dhiya, Kak Aya suka sangat dengan cover ni...tang but komando ni haa..rasa semacam je...semangat juang muncul dalam diri!

Saya ucapkan tahniah pada Dhiya kerana berani untuk mencuba sesuatu yang berlainan..tak banyak novel-novel thriller sebegini....idea Dhiya juga memberi satu satu pengalaman dan pengetahuan yang baru terutama tentang kehidupan tentera bergelar komando.

Kisah Jimmy dan Auni ni agak berat, banyak melibatkan konflik dalaman....mereka ni ada sisi romantik tetapi mungkin tidak ditonjolkan sebagaimana romantiknya pasangan Afi dan Rif...

Tahniah Dhiya!Bukan senang nak buat cerita sekuel begini dan perlu mengekalkan momentum yang sama seperti novel pertama, mesti jangkaan pembaca lebih tinggi dan pengharapan pembaca pun tak kurang tinggi jugak, mesti Dhiya sebagai penulis agak tertekan.

Hasilkan lagi banyak novel macam ni ye!..dan boleh sambung lagi tak kisah geng komando ni? Nilai persahabatan mereka sangat tinggi nilainya, tiada tolok banding, sangat memahami antara satu sama lain.

Kalau mereka yang ingin membaca kisah menarik kehidupan penuh cabaran sekawan komando ini , beli lah novel Jauh Kau Pergi dan Tertulis Buat Kita...tak rugi beb!


Banyak yang saya nak tulis tentang kedua-dua novel ni tetapi tak pandai nak jadikan ianya satu susunan ayat yang mudah dan sesuai...jadi berhenti kat sini je la kot he he...