26 January 2013

Warna Warni Kehamilan @20 minggu kehamilan

Kehamilan kali ni agak memberi peluang kepada saya mencari info tentang macam-macam perkara...mula-mula tu sibuk google tentang tips kesihatan ketika hamil di usia 40 tahun dan hamil ketika obes...hmmm macam-macam info baik tentang pemakanan, penjagaan kesihatan dan persiapan mental dan fizikal.

Bila kandungan dah mula mencecah 4 bulan, ujian glukos menunjukkan bacaan pada tahap borderline...dan secara automatik saya perlu menjalani ujian BSP. Sekali lagi khidmat Google diperlukan ...saya ikut mana-mana tips yang bersesuaian dan setakat ni bacaan gula dalam darah saya berada di paras normal.

Pada minggu ke 17 , saya mengalami pendarahan, tidaklah banyak tetapi cukup membimbangkan saya.
Doktor mengesahkan kedudukan uri di bawah dan uri akan bergerak naik ke atas semula sehingga kandungan mencecah 28-32 minggu. Yaa saya perlu berterimakasih lagi pada Google, sentiasa ada bila diperlukan..banyak cerita dan pengalaman yang boleh saya perolehi tentang masalah uri di bawah.

Beberapa hari lepas, sekali lagi pendarahan berlaku...kata doktor pakar, uri telah bergerak ke atas sedikit ,tapi muncul pulak masalah lain iaitu jangkitan kuman pada pangkal rahim.

Kebimbangan muncul lagi dan seperti sebelum ni, komputer buruk saya ni setia memberi khidmat untuk saya bermesra dengan Google.

Stop dulu...saya sedang bercuti di Tampin...jumpa lagi Isnin.




25 January 2013

BIODATA NABI MUHAMMAD S.A.W

Copy paste daripada FB UAI...daripada sibuk nak tau biodata artis-artis terkenal baik menambah pahala dengan mengenali lebih mendalam tentang Kekasih Allah,Nabi Junjungan Muhammad S.A.W.

Semoga bermanfaat.



24 January 2013

Maternity Dress/Blouse | Beli kat mana?

Dah lebih 6 tahun tak mengandung, baju-baju mengandung yang dulu-dulu tinggal sehelai dua je, itu pun mana yang saya rasa sayang je, yang lain dah bagi pada orang lain.

Tak terfikir la kononnya akan mengandung lagi...ishh macam mana boleh fikir macam tu sedangkan suami isteri masih sihat walafiat lagi hehe ...

Ni bila kandungan dah nak  masuk 5 bulan, perut memang macam 7 bulan dah...memang wajib sangat la pakai baju mengandung bila ke pejabat...kalau duduk rumah tu boleh la pakai je T-Shirt yang besar-besar. Sekarang ni nak jalan-jalan cuci mata di KL untuk ushar baju mengandung rasanya sukar sikit sebab situasi kandungan sekarang tidak membenarkan saya untuk banyak bergerak ke sana sini.

Ada jugak la terngok di blogshop yang menjual online tapi tak pasti saiz tu sesuai tak dengan diri sendiri yang saiznya memang tak sama dengan orang ha ha...maksudnya saya ni tinggi tak cukup inci, badan terlebih kembang.

Nak tempah khas perlu beli kain pulak kan?

 Hmmm ada cadangan tak blogshop mana yang jual maternity wear yang banyaak pilihan dan harga berpatutan.

Sekian terima kasih..


23 January 2013

Bleeding.Jangkitan Kuman.MC.

Untuk kali ke 3 dalam masa 2 minggu, dapat MC lagi dan bleeding lagi la penyebabnya.

Pagi tadi bleeding tu mula terasa ketika di dalam kereta, kala dalam perjalanan ke pejabat, Alhamdulillah kerana suami bercuti hari ni, dia la yang menjadi driver pagi ni.

Sampai je di pejabat terus ke 'in house clinic'...doktor nasihatkan saya ke hospital untuk mendapatkan nasihat daripada doktor pakar sebab dia sendiri pun tak pasti samada perlu terus bagi MC atau macam mana.

Ok, malas nak panjangkan cerita tentang doktor ni, kita pun faham pengetahuannya pastilah tidak sebanyak doktor pakar sakit puan, jadi jangan harap lebih-lebih dari dia..

Dia cadangkan saya ke Hospital Selayang saja untuk dapatkan pengesahan atau apa saja yang sepatutnya daripada doktor pakar di sana..saya tak ikut nasihat dia kerana saya tau kalau saya ke Hospital Selayang tanpa appoinment pastinya sukar untuk bertemu doktor pakar.

Saya dan suami terus menghala ke Pusrawi. Saya tak pilih mana-mana doktor tetapi diberikan Doktor Asmah Yun, selalu baca tentang respons positif tentang dia di beberapa blog, so ok la tak ada apa-apa masalah bagi pihak saya.

Tak lama sangat menunggu, mungkin hari ni memang tak ramai pesakit ...check urine, timbang berat berat, lepas tu baru jumpa doktor...bila jumpa doktor cerita la tentang bleeding...dia suruh baring untuk scan.

Lepas tu buat pemeriksaan pangkal rahim..memang saya tak sangka kena lalui benda ni hari ni..sangat malu tetapi buat-buat tak kisah je la...

Kesimpulan yang doktor buat hasil pemeriksaan pangkal rahim dan ujian scan :

1. Uri agak ke bawah tetapi tidak la betul-betul ke bawah.. Uri agak menyentuh rahim.
2. Tiada bukaan pada pangkal rahim.
3. Terdapat darah beku pada pangkal rahim akibat keputihan yang agak berlebihan yang menyebabkan jangkitan kuman.
4. Berat baby 280gm.

Ubat yang dibekalkan: 
1. Ubat untuk mematikan kulat.
2. Antibiotik
3. Ubat untuk kuatkan rahim.

Saya diberi cuti sakit untuk hari ni dan Jumaat.







Letih Menguasai!

Belum pun lagi masuk minggu ke 20 tapi keletihan yang saya alami seperti dah masuk minggu ke 30..sangat letih..faktor usia atau faktor berat badan atau kedua-duanya sekali?

Selera makan pun sangat baik sekali, risau pulak kalau terlebih berat ...dulu sebelum ngandung, berat saya pernah stabil pada 77 kg, sekarang 74 kg. Untuk sampai ke minggu 40, tak pasti la berapa banyak KG yang akan naik.

Sekarang saya dah mula rasa pergerakan baby. Semalam doktor cakap denyutan nadi baby sangat baik.

Peliknya dah nak masuk minggu ke 20 ni, saya masih lagi tak suka baca novel...ini pembawakan baby boy atau baby girl?

Minat nak menjahit memang berkobar-kobar tapi takat lepas jahit lencana sekolah anak je.

Itu je la nak update kali ni....mengadap blog hari-hari tapi bukan blog sendiri, saja google tentang pengalaman bersalin dan masalah ketika mengandung je.

Sekian dah letih.


21 January 2013

Minggu Ke 19 Kehamilan Ku

Baru saja balik daripada klinik ibu mengandung.

Berat = 74.1 kg - turun 1.1 kg berbanding sebulan yang lepas, gara-gara takut gula dalam darah naik, saya agak mengawal pemakanan, sudahnya kena ceramah free oleh nurse, ok ok memang salah saya, mulai hari ni saya lebih menjaga pemakanan dengan lebiiihhh baik lagi.

Mula-mula masa ambil darah di jari untuk bacaan HB, bacaannya adalah 10.8, rendah daripada normal.

Mata kelihatan pucat, kata nurse lagi.

Pastikan banyak makan makanan yang mengandungi zat besi....apakah makanan-makanan yang dikategorikan di dalam zat besi tu, sila google sendiri! Ini bukan nurse yang cakap tapi saya sendiri yang cakap pada diri sendiri):

Bila bagitau nurse, saya ada bleeding sikit tempoh hari dan uri di bawah, nurse mengarahkan saya ke bilik doktor, tapi pastikan ambik nombor dulu, ok ok saya dah mula hafal carta aliran pemeriksaan untuk ibu mengandung, step A apa, step B apa....untuk jumpa nurse, no saya adalah 60, untuk jumpa doktor nombor saya adalah 41....

Ok, pukul 11.50 dapat jumpa doktor, bila dia belek buku merah, tengok tang bacaan HB, dia arahkan saya melakukan ujian darah di makmal untuk "Full Blood Count", lepas dapat keputusan datang semula jumpa doktor.

Dah dapat result untuk ujian darah, ke bilik doktor semula, kena tunggu lama jugak la sebab orang lain dah bergilir-gilir masuk...sampai turn saya, doktor tengok bacaan HB selepas ujian darah adalah 11.80, dia cakap normal saja.

Saya tanya doktor, hari ni doktor tak scan kandungan saya ke? Untuk tengok kedudukan uri.

Dia jawab, tak perlu , tunggu minggu 32 untuk scan, kalau scan hari ni pun no point kerana uri tidak tetap kedudukannya sehinggalah minggu ke 28. Ok saya ikut je cakap doktor tapi saya bercadang untuk ke klinik swasta lagi 2 minggu untuk melihat kedudukan uri.

Pelik jugak saya, doktor di klinik tadi tak nak tengok kedudukan uri padahal sebelum ni hanya doktor di klinik swasta yang mengesahkan uri saya di bawah, tidak kah doktor klinik kerajaan perlu mengesahkan sekali lagi kedudukan tersebut ? Hmm apa saja la, dah dia cakap macam tu, tak nak la menjawab apa-apa lagi dannn balik saja.


19 January 2013

Review Novel: Drama Sehangat Asmara vs Novel Sehangat Asmara

Saya dah baca novel ni, memang saya suka jalan ceritanya...sekarang novel ni telah di dramakan , dilakonkan oleh Rita Rudaini dan Adi Putra. Saya jarang menonton drama/filem yang diadaptasikan dari novel sebab biasanya tak se best seperti di dalam novel.

Sinposisi novel:


Cinta pandang pertama antara Kamilia Najwa dengan Zainal Arief membawa mereka ke gerbang perkahwinan. Perkahwinan tanpa restu apabila ibu dan ayah Kamilia tidak menyenangi Zainal Arief yang tidak sedarjat dengan mereka. Demi cinta mereka bersatu jua.

Namun kepulangan Zainal Arief ke tanahair tanpa kembali membuatkan hidup Kamilia terumbang-ambing di negara orang keseorangan. Di tambah dengan keadaannya yang hamil tanpa pengetahuan Zainal Arief.

Kamilia di bawa pulang oleh orang tuanya. Dalam keadaan fikiran yang tidak menentu, Kamilia melahirkan Misya. Mujur Azman setia di sampingnya. Azman banyak membantu memulihkan semangatnya yang hilang setelah ditinggal Zainal Arief.

9 tahun sudah berlalu. Kemunculan Zainal Arief meragut ketenangan hidupnya semula. Kamilia tahu Zainal Arief pasti mahukan kepastian tentang Misya yang disembunyikan dari pengetahuan lelaki itu. Puas Kamilia bertanya sebab dan alasan Zainal Arief meninggalkannya dulu, namun tiada sebarang penjelasan yang diberikan Zainal Arief.

Dalam rela dengan tidak, Kamilia menemukan juga Misya dengan ayahnya, Zainal Arief. Kemesraan yang ditunjukkan Misya dengan Zainal Arief sungguh meruntun hatinya. Anak kecil itu langsung tidak mendendami ayahnya yang meninggalkan sekian lama sedangkan Kamilia masih menyimpan rasa itu. Dia merasakan Zainal Arief merahsiakan sesuatu dari pengetahuannya.

Zainal Arief melamarnya buat kali kedua. Buntu dan binggung fikirannya. Rasa kasihan pada Azman yang setia menunggu hatinya terbuka untuknya. Namun,Azman begitu memahami Kamilia. Dia sanggup berundur diri demi kebahagian Kamilia. Dia yakin cinta Kamilia hanya untuk Zainal Arief.

Mereka bersatu kembali. Namun dalam hati Kamilia masih ada syak wasangka terhadap Zainal Arief yang kini suaminya kembali. Puas di tanya alasan Zainal Arief meninggalkannya dahulu, namun Zainal Arief hanya meminta kemaafan darinya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya dulu. Diyakini Kamilia yang cintanya tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini. Hanya Kamilia di hatinya dan ditambah dengan kehadiran Misya sebagai penguat kasih sayangnya pada wanita itu.

Akhirnya, kebenaran terungkai jua. Rupanya ayahnya sendiri yang membuat onar. Sanggup ayahnya menggunakan kuasa yang dimilikinya untuk mengugut keluarga Zainal Arief. Zainal Arief terpaksa menurut segala kemahuan ayah Kamilia jika mahukan adik-adiknya meneruskan pelajaran mereka.

Kamilia begitu kecewa dengan perbuatan ayahnya meskipun ayahnya telah menyesal dengan perbuatannya dan mahukan Zainal Arief dan Kamilia bersatu semua. Dialah yang merancang pendedahan tentang Misya di majalah dengan harapan Zainal Arief akan terbaca mengenainya dan mencari Misya.

Zainal Arief begitu marahkan Kamilia kerana memarahi ayahnya. Pada Zainal Arief biarlah semua yang berlaku dulu sebagai pengajaran untuk mereka dalam menilai kehidupan. Walau macam mana buruk pun perbuatan ayah Kamilia itu sebagai anak Kamilia tidak berhak memarahi ayah kandungnya sendiri. Kamalia yang terasa hati dengan kata-kata Zainal Arief terus melarikan diri ke kampung mertuanya.

Tanpa disedarinya, dirinya hamil lagi. Perubahan itu disedari oleh ibu mertuanya. Di beritahu Zainal Arief akan perkembangan itu dan Zainal Arief muncul untuk memujuk Kamilia. Diterangkan dengan jelas kejadian 9 tahun lalu dengan harapan tiada lagi permasalahan yang timbul selepas ini. Kamilia yang terharu dengan pengorbanan suaminya itu, berasa sungguh bertuah dapat memiliki lelaki itu. Di buang segala keraguan dalam dirinya. Dia yakin cintanya masih utuh untuk lelaki yang bergelar suami ini. Dia berdoa semoga bahagia yang mulai bersinar ini akan terus bersinar menerangi kehidupan mereka.





17 January 2013

Umar di hukum kerana keluar kelas ketika guru tiada

Petang ni, sebaik je Umar masuk kereta, dia bercerita hari ni dia kena denda...

"ma, Umar kena denda sebab Umar keluar kelas dengan Adam (kawan sekelas) ketika guru tak ada"

" kena denda? cikgu suruh Umar buat apa? ketuk ketampi ke? kenapa Umar tak duduk je di tempat Umar?"

'cikgu tampar muka tapi tak sakit pun, tampar perlahan-lahan je...tapi Umar hampir-hampir menangis, Umar keluar kelas sebab rimas la duduk je"

memang saya agak terkejut dan agak kecewa kalau benar cikgu tersebut betul-betul menampar Umar atau adakah cikgu tersebut sekadar menepuk-nepuk lembut pipi Umar.

saya tau apa yang Umar lakukan itu satu kesalahan tapi menyakiti muka adalah satu perkara yang tak wajar, mungkin boleh rotan secara lembut di tangan atau memberi amaran kepada Umar dan kawannya itu. 

saya bertanyakan nama guru yang menampar Umar tu tetapi  Umar mengatakan guru tersebut tak mengajar kelas dia.

sejak saya dengar cerita ni , hati rasa sebal je.. memandang Umar yang sedang lena tidur pun hati terasa sayu..bila anak lelaki mula masuk sekolah, terasa sungguh cabaran makin besar berbanding dengan anak perempuan ( jika dibandingkan antara Umar dan Nadhirah la ).

saya mungkin akan bertanya kepada guru kelas ketika ke sekolah untuk mengambil duit RM100 tu nanti, bukan nak komplen ke apa tapi sekadar bertanya kebenaran kepada cikgu. 

mengikuti kata Nadhirah, biasanya cikgu akan menampar pelajar yang melakukan banyak kali kesalahan besar di sekolah.

mungkin cikgu Umar tadi sekadar mengacah-acah seolah menampar Umar je ( ini ayat Nadhirah).


16 January 2013

Cerita tentang Pegawai Saya

Hari ni mula kerja selepas seminggu MC....kerja memang banyak sebab kebetulan sekarang time closing.

Kalau lama tak ke pejabat, bukannya makin rajin tapi ntah la....kalau bukan rajin tu, sendiri fikir la apa perkataan sesuai untuk itu.

Sampai je di pejabat, di ruang parkir ternampak ada Van Bomba...hmmmm sah-sah hari ni ada latihan untuk Fire Drill. Terfikir jugak kalau sambung mc pun ok hari ni sebab kalau dah ada Fire Drill, pukul 11 lebih baru settle .

Time baru je punggung nak berlabuh di kerusi, pegawai saya memanggil saya masuk ke bilik , ada hal sikit nak bincang, katanya.

" Kak Aya, saya nak bagitau , mulai hari ni Kak Aya hanya dibenarkan bergerak untuk ke tandas, ke surau, ke Food Court je, tempat lain semua tidak dibenarkan, samada saya atau rakan sekerja yang akan mengambil suratkhabar untuk bos, surat menyurat di Jabatan Pentadbiran atau apa saja kerja yang memerlukan pergerakan " - pegawai saya laju menuturkan ayat penyata ini.

Tergelak-gelak saya, sempat saya melawak " tak ada free delivery untuk makan sekali ke, lagi senang tak payah bergerak ke Food Court"

'Hmm nanti kita bincang dengan rakan sekerja", dengan muka penuh yakin je dia menjawab.

" He he akak bergurau je la, akak masih boleh berjalan lagi".

Selepas tu macam-macam pesanan keluar daripada mulut beliau....Aihhhh kalau la bini dia yang bleeding, tak tau la macam mana dia treat...jangan dengan staff je caring gitu tau, bos! Kadang-kadang orang lelaki ni kalau kat pejabat memang caring, tapi kalau dengan bini, hampesss.Pegawai saya ni belum kahwin lagi tapi dah ada girlfriend. Dia ni memang disenangi ramai orang sebab dia peramah dan suka menolong sesiapa je.

Pukul 9.30 pagi, saya perlu ke bilik khas untuk para ibu mengandung berkumpul sebelum loceng kecemasan untuk latihan Fire Drill dibunyikan. Pegawai saya tadi mengiringi saya ke bilik tersebut. ( terasa seperti baru masuk sekolah pulak, bapa hantar sampai ke kerusi).


Kebetulan sebelum masuk ke bilik khas tu, kami terserempak dengan doktor company. Pegawai saya memperkenalkan saya kepada doktor  - dia la yang saya ceritakan semalam, doktor..

alahai apahal sampai cerita tentang saya bleeding pada doktor, hati saya membebel-bebel.

Doktor tu pun tau saya pregnant cuma dia belum tau tentang masalah saya , uri di bawah tu.

Doktor cakap, Insyaallah tak ada apa-apa, kita tunggu saja sampai 7 bulan, time tu baru kita boleh tau samada PP ) Placenta Previa atau tidak, kalau confirm PP dan pada stage 3&4, kena warded sampai waktu bersalin .

"Haaa, dengar tu Kak Aya, jangan ambil mudah tentang masalah bleeding dan PP ni", betul-betul macam Minah Leter...saya mengiyakan je la kata-kata dia.

Lepas latihan Fire Drill, baru start buat kerja....pegawai saya ni memantau aja pergerakan saya, asal bangun je dari kerusi, laju je dia bertanya nak kemana tu ...lorrr rimas eh kalau berterusan begini hingga bersalin. Elok-elok tak stress boleh jadi stress kalau asyik kena pantau je.

Jadinya hari ni saya hanya bergerak untuk ke tandas, surau dan curi-curi ke Accounts Department untuk menghantar Journal Voucher.

Apa pun syukur sebab ada jugak pegawai yang baik hati macam tu walaupun berbeza bangsa.




14 January 2013

Gambar Anak Erra Fazira 2013


Time-time pregnant ni kan kalau selalu tengok muka cute-cute kan bagus jugak....mana tau keluar baby cute jugak. 

Lagi info tentang Plasenta Previa

Jujur saya akui, sejak mengetahui masalah uri di bawah minggu lepas, saya suami isteri agak susah hati sedikit...ketika mengandungkan Umar dulu, pernah berlaku pendarahan ketika kandungan berusia sekitar 3 bulan lebih...ketika itu pendarahan berlaku secara tiba-tiba dan agak banyak tetapi hanya sekali saja berlaku. Kami terus ke Pusrawi dan disitu saya terus diberikan pil untuk menguatkan rahim sebaik saja selesai ultrasound. Syukur kerana selepas itu kedudukan uri kembali normal, sebulan selepas itu tetapi saya tetap perlu melakukan ujian scan saban bulan dan hinggalah saat nak bersalin, sebelum ditolak ke labour room tetap jugak kena scan ..walaupun setiap kali scan menunjukkan uri berada di tempat normal.

Kali ni, pendarahan hanya saya perasan selepas saya membuang air kecil dan ternampak keluar ketulan berdarah seperti hari pertama kita datang bulan. Memang saya agka cemas dinihari tersebut ( Rabu)..kejutkan suami yang tengah lena tidur, dia terkejut dalam terpinga-pinga..

Bila ke klinik, doktor melakukan scan, dia cakap "uri berada berhampiran pundi kencing dan bolehlah dikatakan agak ke bawah daripada kebiasaan..doktor bagi ubat untuk menguatkan rahim beserta MC seminggu.

Doktor ada menerangkan tentang risiko-risiko bila disahkan plasenta previa ( hanya disahkan selepas kandungan berusia 7 bulan). Buat masa ni uri akan bergerak sehingga la usia kandungan memasuki 7 bulan @ 28 minggu...berita buruknya ada juga kedudukan urinya kekal di bawah sehingga 28 minggu.

Bila dah masuk 28 minggu, disahkan plasenta previa, risiko untuk bedrest di hospital memanglah tinggi...bedrest mungkin hingga saat bersalin. ( tak sanggup saya nak bayangkan).

Nasihat doktor, doa banyak-banyak....buat solat hajat...

Disamping itu saya turut memperbanyakkan bacaan di blog tentang plasenta previa ni..

Ini artikel yang saya ambil dari blog NI

Apakah tanda-tanda dan gejala plasenta previa?

Gejala yang lazimnya berlaku ialah:
Pendarahan faraj yang tidak sakit.
Renjatan (peluh dingin, kulit lembab, pernafasan cepat, kadar denyutan nadi yang cepat, rasa mengantuk dan tidak sedar diri).
Bersalin pramatang (sakit di bahagian abdomen dan pengecutan rahim).

Mujurlah, plasenta previa boleh dikesan sewaktu menjalani pemeriksaan rutin ultrasound. Anda mungkin mengalami plasenta previa buat pertama kalinya jika anda merasai satu atau kesemua gejala berikut:

Pendarahan faraj secara tiba-tiba dan banyak tetapi tidak sakit.

Faraj berdarah merah terang yang mungkin disebabkan oleh pengecutan rahim.

Pendarahan berbentuk gumpalan darah beku berwarna merah keperangan atau gumpalan darah beku berwarna merah terang keluar dari faraj. Lazimnya terjadi di antara minggu ke 30 - 34 kehamilan.

Pendarahan selepas persetubuhan atau selepas pemeriksaan pelvis.


Apakah komplikasi plasenta previa?

Bayi akan menghadapi risiko yang lebih besar, oleh itu doktor anda akan melakukan kelahiran lebih awal (selalunya pada minggu ke 38).

Beberapa komplikasi plasenta previa termasuklah:

Pendarahan yang berlebihan selepas kelahiran

Turisan Caesarean akan dibuat pada tempat yang sama dengan kedudukan plasenta previa dalam rahim untuk melahirkan bayi. Ini bermakna, uri atau plasenta tersebut dipotong pada waktu yang sama dengan kelahiran menyebabkan pendarahan bagi kedua-dua ibu dan bayinya. Doktor biasanya akan cuba mengelak dari memotong uri.

Pendarahan berlebihan selepas kelahiran bayi dan uri,keadaan ini dipanggil pendarahan postpartum. Ini disebabkan kesukaran ibu yang menghidap plasenta previa mengecutkan bahagian bawah rahimnya. Bila ini terjadi pembuluh darah akan terbuka dan berdarah.

Plasenta yang melekat secara abnormal - akreta

Selalunya, uri jenis ini boleh berfungsi secara normal semasa hamil. Walau bagaimanapun, apabila tiba masanya untuk dipisahkan dari dinding uri, selepas kelahiran, ianya tidak dapat dilakukan. Biasanya, pembedahan histerektomi akan dilakukan kerana kesukaran untuk mengeluarkan uri yang boleh menyebabkan pendarahan.

Apakah ujian yang dilakukan untuk mengesan keadaan ini?
Ujian-ujian yang mungkin dijalankan termasuklah:
Pengimbasan ultrasound
Plasenta previa boleh dikesan melalui penggunaan peralatan ultrasound. Kebanyakan kes dapat dikesan menggunakan teknik ini walaupun di peringkat kehamilan yang lebih awal. Jika uri menutup bahagian bawah rahim semasa 7 bulan mengandung, diagnosis plasenta previa akan dibuat.


Apa yang perlu saya lakukan jika saya disyaki mendapat plasenta previa

Jika anda mengalami apa-apa bentuk pendarahan, laporkan kepada doktor secepat mungkin. Jika didiagnoskan mengalami plasenta previa, anda mungkin perlu dimasukkan ke hospital, kerana pada saat itu pendarahan boleh berlaku secara spontan. Rawatan terbaik untuk anda ialah berehat atau berbaring di tempat tidur untuk mengelak pengecutan rahim yang boleh menyebabkan pendarahan. Cubaelakkan dari melakukan persetubuhan atau melalui pemeriksaan pelvis kerana ini boleh menyebabkan pendarahan.

Bagaimanakah plasenta previa dirawat?

Rawatan Pertolongan Cemas
Pertolongan cemas hanya diperlukan jika pesakit mengalami pendarahan yang teruk dan akan mendapat renjatan.
Apa yang anda perlu lakukan ialah:

Dapatkan khidmat kecemasan. Letakkan pesakit dalam keadaan yang selesa.

Tenangkan pesakit. Ia mungkin dalam keadaan cemas dan risau.

Memeriksa gejala renjatan pada pesakit (lihat di bawah - ia mungkin menghadapi pendarahan dalaman).
Jika pesakit menunjukkan gejala-gejala berikut, ia mungkin menghadapi renjatan:

Keresahan atau kegelisahan.
Nadi berdenyut lemah dan pantas.
Kulit sejuk, lembap dan pucat.
Menggigil.
pernafasan singkat dan pantas.
pening dan terasa letih.
loya atau muntah.
tidak sedarkan diri.
Jika anda tidak dilatih untuk mengendali pertolongan cemas, bawa pesakit segera ke hospital.
Jika anda mempunyai kemahiran melakukan pertolongan cemas, periksa saluran udara, pernafasan dan edaran darah. Lakukan resusitasi kardiopulmonari (CPR) jika pesakit tidak bernafas atau nadi dan denyutan jantungnya tidak dapat dirasai.

Apakah jenis ubat-ubatan yang diberi bagi merawat plasenta previa?
Dadah yang digunakan untuk rawatan plasenta previa merangkumi 3:
Kortikosteroid
Tokolitik
Jika pesakit tidak berada di sekitar pelahiran dan janinnya berumur kurang dari 34 minggu, kortikosteroid seperti betametason mungkin diberi untuk mempercepatkan kematangan paru-paru janin.
Kadangkala ubat tokolitik seperti magnesium sulfat atau terbutalin disyorkan untuk mengurangkan pengecutan rahim.
Doktor akan menasihati anda terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang rawatan.

Apakah bentuk rawatan am yang diberi untuk plasenta previa?
Rawatan bergantung pada peringkat kehamilan dan jumlah pendarahan yang berlaku2.
Jika kehamilan anda berusia 35 minggu atau lebih, doktor mungkin melakukan pembedahan Caesarean. Walau bagaimanapun, jika pendarahan berlaku sebelum tempoh ini, anda mungkin diminta untuk berehat di hospital dan diberi rawatan konservatif.

Berbaring dan berehat di tempat tidur adalah rawatan yang terbaik untuk mengelakkan pengecutan rahim yang boleh menyebabkan pendarahan.

Jika kehamilan anda berada dalam minggu ke 28 atau lebih dan anda mengalami plasenta previa, tetapi tidak berdarah, doktor mungkin menasihat anda supaya berehat dan berhenti dari melakukan kerja-kerja berat.
 
Jika pendarahan berlaku, anda mungkin dimasukkan ke hospital untuk dipantau dan diberi rawatan lanjutan, jika perlu.

Anda mungkin diperiksa untuk mengesan anemia dan kesesuaian kumpulan darah sekiranya timbul keperluan untuk pemindahan darah.

Jika anda mengalami pendarahan, doktor mungkin terpaksa memasukkan cecair melalui vena (IV) di lengan anda.

Kadar denyutan jantung bayi anda akan dipantau dan kiraan sel darah anda akan diawasi dari masa ke semasa.

Apakah prognosis bagi plasenta previa?

Bagi kebanyakan kes, plasenta previa boleh dikesan dengan tepat menggunakan teknik seperti ultrasound sebelum janin berada dalam keadaan bahaya. Kematian bayi dan ibu boleh dikurangkan jika mereka yang berisiko ini dimasukkan ke hospital dan pembedahan Caesarean dilakukan, jika perlu.

Apakah langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil untuk masalah ini?

Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelak berlakunya plasenta previa ialah:

Mengubah gaya hidup

Berhenti merokok.

Elak dari mengambil alkohol semasa mengandung.

Jika anda mempunyai sejarah plasenta previa, jagaan kehamilan yang lebih awal untuk kehamilan yang akan datang adalah langkah yang terbaik. Ini kerana jika plasenta previa ini berlaku semula ianya dapat dikesan lebih awal dan pemantauan rapi boleh dilakukan. Dengan ini pengurusan yang baik dapat diberi kepada ibu tersebut.

p/s: Semoga Uri saya kembali normal selepas ini...

13 January 2013

Bila banyak berbaring je...

Saya dapat MC selama seminggu, mulai Rabu lepas hingga Selasa depan...seronok tak kerja tapi tak yang seronoknya bila tak perlu kerja kerana tak sihat...kena pulak sepanjang MC tu dinasihatkan lebih banyak berbaring .

Namun begitu tidak la saya ni berbaring je sepanjang masa, ishh mana ada orang yang sanggup berbaring sepanjang masa kalau sememangnya masih mampu untuk bangun berjalan ke sana sini , kerja kat rumah ni banyak tak pernah berkurang walaupun suami ada menolong mana yang patut di dalam keadaan begini tetap juga ada kerja-kerja lain yang perlu dibuat.

Awal pagi , pukul 5 dah bangun untuk sediakan sarapan untuk 2 anakanda ..mereka ni tiap hari bawak bekal , buat masa ni la..Umar nampaknya bawak bekal ke sekolah dan pulangnya masih tak luak bekal tu bermula Rabu lepas, maklum la dah pandai guna duit di kantin sekolah.

Anak-anak bangun tidur jam 6.15, mandi dan bersiap..Umar sarapan dulu di rumah, Nadhirah tak suka makan awal pagi, dia hanya bersarapan kala waktu rehat di sekolah agama.

Lepas siap semuanya, suami akan menghantar anak-anak ke sekolah...saya dah mula membaringkan diri untuk beberapa ketika..suami pulang dari sekolah, kami sarapan sama-sama...lepas tu beliau ke tempat kerja sekitar jam 8.30 pagi.

Saya baring semula hingga saya rasa bosan dah terbaring :(..biasanya belum pukul 11 dah bangun dan duduk rehat di atas sofa, time ni penuhi masa dengan aktiviti bermanfaat .

Sebelum zohor, angkat semua kain jemuran, lipat dan gosok mana yang berkenaan. ( gosok baju sambil duduk di atas kerusi walaupun suami dah pesan agar jangan menggosok pakaian, saya tetap gosok perlahan-lahan, lagi pun tak banyak pun kalau gosok siki-skit).

Solat Zohor, makan tengah hari ala kadar je....pukul 3 berbaring semula bila terasa lenguh-lenguh pinggang.

Masuk waktu Asar, bangun semula dan lepas solat Asar duduk atas sofa semula...

Biasanya time saya berbaring, mesti banyak benda yang saya fikirkan...paling mengganggu fikiran adalah keinginan yang secara tiba-tiba je - nak belajar menjahit! kalau cerita pada keluarga dan sahabat terdekat mesti dia orang gelakkan saya sebab saya ni jenis tak ada seni dan tangan kaku memanjang, pendek kata kalau buat kerja-kerja kraftangan tu memang hancus la....tapi apa pun saya nak sangat-sangat belajar menjahit...

Selain tu fikir nak aktif semula buat bisnes online macam dulu , walaupun sekejap je dulu...jual set bersalin, bedung, barut, bengkung, rasa seronok tiap kali dapat pesanan daripada pelanggan...hmm mungkin idea ni akan saya realisasikan , mungkin lepas bersalin nanti.

Dan....suami ada menyuarakan hasrat agar saya berhenti kerja selepas bersalin walaupun mungkin keadaan kewangan kami sekeluarga akan jadi cukup-cukup-cukup makan je tapi kata suami, mungkin ada kemudahan dan kelapangan dari segi lain...yang ni saya agak berat nak buat keputusan dalam masa terdekat ni.

Esok masih bercuti tetapi rasanya banyak sikit perancangan untuk hari esok...antaranya nak ke bank dan membeli tudung untuk sekolah agama Nadhirah..hari tu masa nak cuti sekolah, guru disiplinnya cakap boleh pakai tudung awning untuk kekemasan pelajar tetapi Khamis lepas Nadhirah bagitau tak boleh pakai tudung awning, jadi kena beli tudung baru.

Sekian, cerita daripada orang yang tidak berbaring buat masa ni.





12 January 2013

Apa itu Placenta Praevia/Uri di bawah

*** ceduk daripada blog INI , semoga ada manfaatnya.

Placenta atau dalam bahasa melayu adalah uri. Uri merupakan ‘kembar’ bayi semasa dalam rahim. Penting untuk perkembangan bayi.

Biasanya uri terletak di bahagian atas rahim. Ini kedudukan yang selamat untuk uri. Tetapi jika uri itu berada di bawah ini dipanggil Placenta Praevia atau uri di bawah. Ini merupakan masalah ketika mengandung.

Jika pendarahan berlaku tanpa dapat dikawal, ini membahayakan ibu dan bayi. Jika masih belum berhenti, ibu terpaksa bersalin awal.

Terdapat 4 jenis
- uri terletak rendah dalam rahim. Bayi masih boleh dilahirkan secara vaginal
- bahagian hujung uri menyentuh pembukaan serviks tetapi tidak menutupinya. Bayi masih boleh bersalin secara vaginal
- sebahagian uri menutupi pembukaan serviks. Bayi perlu dilahirkan secara pembedahan
- uri menutupi sepenuhnya pembukaan serviks. Bayi perlu dilahirkan secara pembedahan

Pada peringkat awal mengandung, sehingga minggu ke 20, jika uri terletak di bawah atau menutupi serviks anda tidak perlu bimbang. Semakin bayi membesar, rahim yang mengembang akan menarik uri dari serviks.

Pendarahan semasa 3 bulan terakhir mengandung merupakan salah satu simptomnya. Apabila bahagian rahim mengembang semasa pertengahan mengandung, uri mungkin akan terpisah menyebabkan pendarahan yang banyak. Hubungi doktor anda dengan segera. Namun kadang-kadang tiada tanda. Sebaiknya lakukan scan untuk memastikan keadaan uri dalam kedudukan yang baik

Ibu yang mengandung anak kedua dan seterusnya lebih berisiko mengalaminya berbanding dengan mereka yang mengandung kali pertama. Juga terdapat sedikit risiko bagi mereka yang pernah bersalin secara pembedahan, atau pernah mengalami masalah ini sebelumnya atau mereka yang merokok. Namun kebanyakannya tiada faktor risiko tertentu.

Untuk mengatasi masalah ini, bergantung pada keadaan. Jika anda mengandung selepas 20 minggu, tetapi tiada pendarahan, anda mungkin dinasihatkan untuk mengelakkan sebarang aktiviti lasak dan jangan buat kerja berat. Jika berlaku pendarahan yang banyak, perlu ditahan di hospital untuk pemantauan. Walaupun telah berhenti anda mungkin diminta berada di hospital sehingga bayi dilahirkan. Anda juga akan dinasihatkan agar tidak melakukan hubungan seks dengan suami kerana ini mungkin akan menyebabkan pendarahan.


Uri adalah organ yang terdapat didalam rahim wanita hamil, bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi dari ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal ialah apabila ia berada di tengah atau dibahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh dari kawasan dimana bayi sepatutnya keluar dari rahim. Uri di kedudukan bawah pula berada dikawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui diawal kehamilan kerana 20% daripada uri berada dibawah apa awalnya, tetapi apabila kandungan berusia 28 minggu kebanyakkan dari uri sudah tertarik keatas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma 5% sahaja yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Pada masa ini keadaan ini dipanggil Placenta Previa.

Komplikasi dan rawatan

Sekiranya uri anda masih dibawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk mengalakkanya naik keatas. Rawatan pula bergantung kepada tahap placenta previa (PP) tersebut, samada ia menutup keseluruhan laluan bayi atau separuh sahaja. Tahap keterukan dibahagikan kepada 4 jenis. Jenis 1-4. Jenis 1 adalah yang paling ringan, iaitu uri berada dikedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim manakala jenis ke 4 pula bermaksud uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis ke 4, terdapat risiko tinggi untuk kelahiran pra-matang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simtom pesakit dengan memasukkan pesakit ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.



10 January 2013

BSP( Blood Sugar Procedure) Test

Ramai dah tau kan BSP ni untuk mereka yang telah melakukan ujian MGTT sebelum ni dan bacaan ketika ujian MGTT melebihi 7, macam kes saya, bacaan saya adalah 7.82, secara automatik tersenarai sebagai orang yang layak melakukan ujian BSP :(

Sejak dapat tau tentang kelayakan melakukan ujian ni, memang saya dah mula tak senang duduk, tiba-tiba takut pulak nak makan itu ini...hasilnya berat turun sedikit, lagi susah hati bila berat turun kala mengandung..pendek kata serba serbi tak kena hanya kerana takutkan gula dalam darah meningkat.

Saya mula puasa pukul 9 malam tadi..pagi-pagi tadi masa bancuhkan teh panas untuk suami, saya sempat mencicip sedikit teh tersebut ( nak rasa cukup manis tak..)..risau jugak kalau sekadar mencicip begitu menyebabkan bacaan gula naik selepas test tu nanti.

Pukul 8, terus ke makmal...seperti biasa, saya bukan orang yang awal...lebih kurang 10 orang dah menunggu giliran..sekejap je prosesnya...bacaan terus di ambil time tu jugak, bacaan saya untuk awal pagi tadi adalah 4.8.

Balik rumah terus bersarapan - nuget 1 ketul, Quaker Oat semangkuk kecil, epal hijau dan segelas Susu HL.
Lepas tu minum 1 liter air masak dan terus tak makan apa-apa sehingga jam 11.30, ini adalah untuk proses pengambilan darah kali ke 2.

Bacaan untuk kali ke 2 adalah 4.4, turun sikit berbanding pagi.

Makan tengah hari agak banyak, masak nasi beras herba Taj Mahal , ngam-ngam dapat sepinggan nasi, ikan  kembung panggang seekor, ikan singgang dan ulam-ulaman hijau, epal hijau dan air limau kosong.

Pukul 6, sekali lagi beratur untuk proses pengambilan darah kali ke 3.Bacaan 4.8.

Makan malam adalah sepinggan mee goreng , segelas susu HL, sebiji epal hijau. Bacaan pada pukul 10 adalah 5.8.

Setakat ni nurse cakap semuanya normal dan tunggu hari pemeriksaan pada 21/1/2013 nanti.


Senaman Untuk Menaikkan Uri

Tadi jalan-jalan ke blog INI, jumpa la satu bentuk senaman yang boleh menaikkan uri.
Lakukan senaman ini 2 kali sehari, sewaktu bangun tidur dan sebelum tidur.

CARA : Baring atas katil dengan kaki diangkat ke atas, jika tidak mampu mengangkat kaki, cuba sandarkan ke dinding. Maksudnya kita baring dalam bentuk ‘L’ iaitu kaki disandarkan ke dinding agar tidak jatuh. Baring dalam keadaan begini selama mana yang mampu lakukan. Paling penting, jangan memaksa diri sendiri.

Teknik pernafasan : Tarik nafas perlahan-perlahan, sedalam yang mungkin mengikut kemampuan (waktu tarik nafas, pastikan kaki diangkat atas dan disandarkan ke dinding).

Cara menarik nafas juga penting, iatu dengan menggunakan perut dan bukan hidung. Lepaskan nafas secara perlahan-lahan, dalam jangakamasa yang sama (lebih kurang sama ketika menahan nafas). Buat senaman dalam 10~15 kali untuk satu sesi senaman.

Selain daripada senaman, cuba berinteraksi dengan bayi dalam kandungan. Pujuk bayi agak pusing ke bawah dan uri biasanya akan naik ke atas mengikut pergerakan bayi. Sujud yang agak lama juga dapat membantu menaikkan uri, kerana kedudukan sujud itu sendiri dapat memperbaiki kedudukan rahim ke tempat asal, insya Allah.

Sama-sama kita berusaha dan berdoa kepada Allah semoga dipermudahkan segalanya.

09 January 2013

Dugaan yang lebih besar berbanding bateri kong!

1. Pendarahan berlaku
2. Uri di bawah.


Berehat seminggu di rumah.


Sesi menggoogle "masalah uri dibawah" akan bermula.


p/s: sedang belajar agar sentiasa mensyukuri di atas setiap dugaan diberi .

08 January 2013

Bateri Kong!|Dugaan Kecil buat ku.

Alkisahnya,pagi semalam lepas hantar Umar ke sekolah agama, nak start kereta semula dah tak boleh hidup lagi ...cuba, cuba, cuba, try test semuanya tak boleh jugak.

Call suami, dia kata tunggu sampai dia datang, sambil-sambil tu cuba-cubala start lagi beberapa kali.

Ok, saya ikut pesanan dia, tapi tak menjadi jugak.

Malas nak menunggu je di tepi tembok sekolah Umar tu, saya ambik keputusan untuk jalan kaki je ke transit dan tadika untuk menghantar pakaian sekolah petang Umar dan Nadhirah.

Berpeluh-peluh! Padahal jarak hanya sekangkang kera je dari situ...start minggu ni saya terasa macam ketara berat sangat nak melangkah...baru je 4 bulan, jauh lagi perjalanan tu!

Lepas tu cuba, cuba , cuba lagi start kereta..pun hampa!

Tak lama lepas tu, ok pulak...jadi suami saya yang kebetulan dah sampai time tu tak buat apa-apa la, dia pun tak tau nak buat apa, dia cuma cakap ini masalah bateri...saya tawakal aja pergi kerja jugak dengan kereta tu semalam.

Time balik , lagi sekali jadi macam waktu pagi, tak boleh nak start..call motorclub kat ofis tu, dia orang ni ambik masa lama sungguh nak sampai walhalnya kereta ni parking seberang jalan depan ofis tu je...staff motorclub datang bawak jumper, terus hidup dan balik..dia pesan suruh tukar bateri, tukar kat kedai luar la , pesannya.

Pagi ni , awal-awal pagi dah menunggu depan kedai bateri..terus tukar, RM180.

Jadi, kita masuk lepas lunch la hari ni...sempat la mengadap blog kejap. Hikmah jugak tu!


06 January 2013

AJL 27 - TERUKIR DI BINTANG JADI JUARA!

Malam ni dapat tengok AJL27 sampai ke akhirnya sebabnya tengok sambil-sambil menjahit lencana pada tudung sekolah Nadhirah..tahun-tahun lepas, tengok juga tapi lepas tu tak sampai separuh jalan,TV pulak yang tengok saya.

Lagu-lagu malam ni semua best-best..saya paling suka lagu Terukir Di Bintang yang dibawakan oleh Aizat, rasa macam lagi best berbanding Yuna ): dan lagu Teman Pengganti.

Suka sangat set AJL 27 ni!

Keputusan AJL 27
Persembahan Terbaik: Teman Pengganti - Black & RJ

Vokal Terbaik : Hafiz ( ingatkan Black yang menang! hu hu...)


JUARA AJL : TERUKIR DI BINTANG ( YUNA)yeayy!
Tempat Kedua : Idola ( Ciptaan Audi Mok)
Tempat Ketiga: Ku Akui ( Ciptaan Ajai)


Tahniah la untuk semua pemenang!

04 January 2013

Buffered Earning Pertama 2013|Pengubat Keletihan

Setelah sekian lama blog Jendela Hidup tidak menerima BE, akhirnya muncul sempena tahun baru...terima kasih untuk Nuffnang...boleh la walaupun takat 0.26 sen.


Hilanglah sikit rasa letih bila tengok ada BE, semangat untuk buat entry pun lebih tinggi walaupun tak bermakna saya akan menjadi rajin untuk menulis entry:(

Rasanya hari kerja@hari sekolah, memang susah nak mengadap blog sebabnya bila dah ada masa free, cepat-cepat meluruskan badan dan zzzzzz.

Insyaallah hari Sabtu dan Ahad boleh curi masa untuk blog, itu pun sekadar janji rapuh je.

Terima Kasih sekali lagi untuk NUFFNANG.

02 January 2013

Entry orang keletihan| Baca kalau rasa perlu baca

Alkisahnya....dek kerana terlalu risaukan anak nak masuk sekolah hari ni, tidur malam pun asyik terganggu.

Bila tiba harinya, saya menunggu Umar di Sekolah Agama bermula 7.30 pagi hingga tamat jam 11 pagi. Alhamdulillah untuk sekolah agama ni , Umar sekelas dengan sahabat baik dia di tadika dulu, jadi semangat beliau berada di tahap tertinggi untuk ke sekolah agama.

Paling saya risau kalau-kalau dia nak ke tandas dan dia tak tau macam mana nak buang air dengan keadaan berkasut berstoking, bersampin, berseluar panjang, dalam tandas tu langsung tak ada tempat untuk mengantung seluar atau sampin, semua pakat buka sampin di luar tandas..... kebetulan sehari dua ni Umar asyik cirit birit je...sat ok, sat tak ok. Itu yang menambahkan tahap kerisauan saya. 

Alhamdulillah, tiada apa yang tidak diingini berlaku  sepanjang di sekolah agama pagi tadi. Syukur sangat-sangat, tak putus-putus saya berdoa agar segalanya dipermudahkanNYA.. tak tau la mak mak lain macam saya juga atau macam mana, saya rasa mungkin orang lain lebih cool.

Sebenarnya Umar memang nak buang air kecil pagi tadi, saya bawak la dia ke tandas, time nak masuk tu, ada la seorang pelajar tahun 2 yang anu nya tersepit pada zip seluar..terus Umar tak jadi buang air, dia cakap ngeri ngeri ngeri dan lari balik ke kelas. Sudahnya balik rumah jam 11 tu baru buang air.

Untuk hari pertama ni, Umar tidak singgah di tadika untuk transit selama 2 jam sebaliknya ikut saya balik rumah. Cuaca panas terik hari ni, rasanya macam kering segala air dalam badan..sudahnya saya meneguk teh  ais sampai rasa betul-betul nak muntah teh ais ( dah lupa diri tentang bacaan gula dalam darah la tu!)

Jam 12.40 keluar bersama Umar untuk hantar di ke sekolah kebangsaan pulak...time ni matahari bersinar cukup terik...ohhhhh kesian  Umar bila dia cakap belum hilang penat dah kena sambung penat lagi. (Sabar la nak...hari tu cakap nak jadi pilot, kalau nak jadi pilot memang la kena berpenat lelah banyak-banyak ):)

Sesak betul jalan nak masuk ke sekolah kebangsaan tengah hari tadi..dalam panas terik macam tu, aircond kereta Kancil saya seolah-olah tidak berfungsi sama sekali.

Jam 1.20 sampai sekolah.....Nadhirah dah siap menunggu di transit untuk mengambil pakaian untuk sekolah agama. Bab Nadhirah ni saya tak perlu risau lebih-lebih kerana dia dah pandai menguruskan diri, yelah dah darjah 4, melampau la kan kalau semuanya masih memerlukan mama untuk mengurusinya.

Kelas Umar di tingkat 4....betapa longlainya lutut saya memanjat tangga sampai ke tingkat 4 , bercampur pulak dengan deraian peluh yang keluar daripada segenap liang rongga.....letih jangan cerita la..... Mengah-mengah saya bercakap dengan guru kelas Umar, bukan bercakap apa pun, sekadar memberikan penyata gaji suami saya yang terbaru ( saya dan Umar adalah pasangan paling akhir sampai ke kelas he he).

Umar duduk di bahagian belakang sekali....rileks je nampaknya dia....tengah-tengah merenung Umar, teringat la pulak yang saya terlupa nak masukkan anak tudung di dalam beg tukar pakaian Nadhirah, adoiii laju-laju turun tangga yang 4 tingkat tadi, berlari ke kereta dan balik rumah ambik anak tudung, hantar ke transit.

Laju-laju panjat semula tingkat 4 untuk jenguk Umar sebab tadi saya blah macam tu je...dengan deraian  peluh sekali lagi saya termengah-mengah sampai atas dan time tu jugak la guru kelas meminta semua ibubapa turun bawah ( lepak di kantin)...adoiiiii sabar jelah duhai hati.

Duduk la situ saya dan ibubapa yang lain sampai waktu rehat. ...Umar turun bersama dengan 1 kumpulan kelas beliau...makan nasi lemak, saya belum sempat ajar betul-betul cara nak membeli di kantin...terlalu ramai ibubapa dan pelajar tadi.

Oh ye, saya nak komplen sikit tentang sikap segelintir ibubapa yang berada di kantin ketika waktu rehat, mereka ni tak perasan atau sengaja, tak pasti la pulak saya.....duduk anak beranak di bangku yang disediakan, makan dengan penuh santai...anak-anak lain berdiri sebab tak cukup kerusi..yang peliknya ada pengumuman dari pihak sekolah meminta ibubapa lebih bertoleransi terhadap pelajar dengan memberikan ruang tempat duduk hanya kepada pelajar untuk makan, bukan ibubapa makan sekali dengan anak. Ishh tak faham la dengan sikap mereka ni!

Saya menunggu Umar sehingga waktu rehat je, lepas tu balik buat kerja-kerja rumah.....jam 6.15 keluar semula jemput Nadhirah dan Umar...Nadhirah dah siap menunggu sebab waktu pembelajaran di sekolah agama berakhir jam 6 petang, manakala Umar pula berakhir jam 6.30 petang.

Balik rumah singgah kedai makan area rumah...tak larat nak masak sebab rasa macam sangat-sangat penat dan sakit pinggang....Saya tak makan, tengok anak-anak makan je. Lepas makan, terus balik, dah dekat nak sampai rumah, time tu kereta tengah mendaki bukit, Umar termuntah dengan jayanya. Kali pertama saya tengok dia muntah sampai macam tu sekali. 

Kiranya hari ni sangat menguji keupayaan mental dan fizikal saya...mencuci muntah di atas car seat sangatlah mencabar perasaan...Nadhirah awal-awal menasihati saya " ma, jangan stress, ingat mama nak buat BSP" ( eh apa la kena mengena stress dengan BSP, main hentam je budak ni!)

Saya mesti faham dan memang dah pun faham, musim sibuk telah pun bermula hari ini selepas 2 bulan santai je. Suka tak suka kena tempuhinya jugak. 

Lepas taip entry ni, saya mau rebahkan badan...rehatkan minda.....esok saya kerja, abahnya yang akan ambil giliran untuk jenguk Umar tetapi Umar akan mula tinggal di tadika untuk tempoh 2 jam transit sebelum ke sekolah kebangsaan.. 

Eh dah la, panjang sangat dah ni..tak ada orang baca pun tak apa....sekadar nak hilangkan penat je ni....

(Taip time otak penat memang bercelaru je ceritanya!)






Gigih ke blog ibu-ibu mengandung

Sekarang ni , semenjak mengandung saya hanya blogwalking ke blog yang berkenaan dengan kehamilan, pengalaman bersalin, pengalaman menyusukan baby dan terbaru mencari info tentang BSP dan GDM.

Nadhirah ada komplen, mama ni macam tak pernah bersalin sebelum ni,. hari -hari mesti baca pengalaman bersalin je. 

Mungkin sebab macam dah lama sangat jarak antara mengandungkan Umar dan kehamilan kali ini walaupun ada ibu lain yang berjarak hingga berbelas tahun.

Bila dah lama tak bersalin, macam-macam perkara pulak yang terlintas difikiran apatah lagi dengan usia yang menjangkau 40 tahun berserta dengan masalah obesiti. 

Apa pun doa tak lekang saya pohonkan agar segalanya dipermudahkanNYA dan anak sihat sempurna.









01 January 2013

Tempat Pertama Ujian Tuition

Alkisahnya tahun ni Nadhirah tak perlu tinggal di mana-mana kampung ( rumah mak saya atau rumah mak mertua saya) ketika cuti panjang persekolahan yang berakhir hari ni.

Pihak transit membuka transit seperti biasa sepanjang cuti persekolahan memandangkan ada ibubapa yang keberatan untuk menghantar anak pulang ke kampung ( saya la orang tu!)

Di samping itu, pihak transit juga menyediakan kelas tuition untuk mata pelajaran teras dengan kadar harga berpatutan.

Jadi, Nadhirah turut menyertai kelas tuition tersebut..dia menyertai lebih lewat berbanding rakan beliau yang lain. Pelajar kelas tuition tu berbeza tahun dan kelas.

Tak sangka diakhir kelas tuiton, Nadhirah dapat tempat pertama , beliau berjaya mencapai tahap yang ditentukan oleh guru tuition.

Saya cakap pada dia, ini la hikmahnya Dhirah tak balik kampung. Beliau agak kecewa asalnya hari tu ketika mula-mula sekolah bercuti kerana saya tidak membenarkan beliau balik Tampin seperti tahun lepas. Saya terpaksa menimbangkan banyak perkara sebelum mengambil keputusan untuk tidak membenarkan Nadhirah tinggal di Tampin. Sekurangnya beliau tinggal di transit, ada sesuatu yang bermanfaat dapat dikutip dan dipelajari. 

Selain belajar tuition di situ, pihak transit menekankan kepentingan solat, maksudnya setiap waktu wajib solat di rumah transit . Makan minum semua berjadual seperti biasa. Waktu bermain pun mengikut jadual dan waktu menonton serta waktu untuk tidur pun ada cuma biasalah Nadhirah ni mana suka tidur siang.

Selepas makan, semua kena belajar mencuci pinggan, membersihkan meja  makan..kalau tinggal di rumah Uwan, air nak minum pun Uwan ambilkan...lepas tu 24 jam adalah main, makan dan tidur.

Malam-malam time di rumah, kalau ada kerajinan, Nadhirah akan mengaji sendirian , sekadar mengulangbaca surah-surah yang telah di baca.


Bangga betul dia ... dapat tempat pertama walaupun sekadar ujian biasa-biasa je.

Set alat tulis, cekak rambut dan dompet duit siling.





Hari Orientasi Tahun 1 Sek Keb Sungai Tua

Anak nak masuk sekolah , mama yang tak lena tidur..risau macam-macam..ini baru je untuk orientasi..esok hari sebenar persekolahan tak tau lagi macam mana debarannya.

Umar bangun awal pagi orientasi, nak kata teruja sangat tidak la , kalau dibandingkan dengan kakaknya, memang ketara la kakaknya lagi teruja..kakak dia pulak yang cepat bersiap  berbanding Umar , walhalnya kakak hanya sekadar menemankan aja.

Tak banyak gambar yang dapat diambil sebab Umar tak bagi ambik gambar dia...ntah apa-apalah pulak mood dia ni.






Semoga Umar sentiasa bersemangat untuk ke sekolah setiap hari, tak mau buat mama risau, buat mama susah hati ye!


Tahun Baru 2013, Azam Baru Wajah Baru

Dah terlupa hari ni masuk tahun baru 2013, dek risaukan bacaan gula dalam darah agak tinggi semalam segalanya jadi terlupa .

Azam baru tahun ni adalah nak jaga pemakanan , azam ni muncul selepas nurse call semalam, dang dang pasang niat nak jaga makan.

Azam-azam lain tu sama je macam tahun-tahun sebelum ni...malas nak taip lagi sekali he he.

Nadhirah pulak akhiri tahun 2012 dengan memotong pendek rambutnya. Setelah sekian lama saya mencadangkan agar dia berambut pendek tetapi cadangan saya langsung tidak dihiraukan dia, ntah angin apa yang melanda, tup tup nak potong rambut pulak..Saya sangat senang hati sebab dia bertudung sepanjang hari kalau hari sekolah, pagi-pagi mesti basahkan rambut, tak sempat kering dah pakai tudung. Rambut jadi berbau dan agak rosak.

Rambut dia kering merebang , kalau dia rajin , letak minyak sampai nampak macam lembap, tapi kalau malas, macam ni la jadinya.

Time potong rambut...di sebuah salon di Bandar Baru Selayang

Terus nampak macam muka lelaki bila berambut pendek. Tengok Umar kat belakang tu....mengacau kakak dia.