CERPEN NAURA - MANIS DI SEBALIK KEPAHITAN

Assalamualaikum
Semoga enjoy dengan cerita ni ye.

Sebenarnya ini adalah berkisarkan kisah benar seorang sahabat dunia akhirat Kak Aya yang kini menetap di Terengganu. Tapi Kak Aya ubah mana yang perlu, konon-konon jadi la cerpen kreatif sendiri.

 Sebarang komen atau nasihat atau pun nak kongsi rasa yang sama, amat dialu-alukan.

*********************************************************************************
"Assalamualaikum”…satu suara kedengaran di corong sebelah sana sebelum sempat aku bersuara.

“Waalaikummussalam, siapa di sana tu?” Tanyaku kerana kedengaran seperti suara asing saja di telinga ku ini.

“ Saya Lisa,.ni Kak Mar , ke?” Dia memperkenalkan diri dan nampaknya dia mengenali nama ku. Aku mula cuak.

“ Iya betul, ni Kak Mar, Lisa ni call dari mana, nak cakap dengan siapa?” ..aku terasa seperti berdebar pulak bila dia tau siapa nama aku sedangkan aku tidak pernah mengenali siapa dia.

“ Oh ini isteri Abang Faizal”, terangnya jujur.

Aku seperti terkejang kerana suamiku pun Abang Faizal juga tetapi aku cuba-cuba berlagak tenang.

“ Abang Faizal mana tu?” aku cuba berbasa-basi setenang-tenangnya.

“Abang Faizal suami Kak Mar jugak la, kita ni bermadu”, makin berterus terang dan penuh ketenangan suara dia dan nampaknya aku yang tak mampu lagi menahan diri daripada menggeletar. Aku hanya terdiam kaku, suaraku hilang entah ke mana.

“Lisa telefon Kak Mar ni nak bagitau yang Abang Faizal dah pun menjadi suami Lisa sejak 3 bulan lepas dan sekarang Lisa sedang mengandung 1 bulan, Lisa rasa tak perlu disembunyikan lagi perkahwinan ini memandangkan kami tidak melakukan perkara yang salah..ye mungkin salah kerana ianya diluar pengetahuan Kak Mar. 3 bulan Lisa memberi peluang kepada Abang Faizal untuk berterus terang kepada Kak Mar tetapi beliau tidak mampu untuk berterus terang, itu saja yang Lisa ingin katakan kepada Kak Mar , Assalamualaikum”. Nampak jelas keberanian ‘maduku’ ini.

Aku kekal berdiam diri dan tak mampu bersuara walau sepatah pun , airmata laju mengalir di pipi. Perlahan ku letakkan gagang telefon , serta merta hidup ku terasa kosong sekosongnya. Nampaknya dengan hanya satu panggilan telefon berjaya meranapkan seluruh perasaanku.

Serta merta terlayar kembali detik-detik yang kami lalui sebagai suami isteri yang mana ada kalanya aku sendiri meragui kejujurannya namun kerana kasih sayang dan cintaku pada suami tidak berbelah bagi, segala keraguan itu ku lupakan begitu saja. Akhirnya inilah ganjaran yang aku terima di atas kesetiaan dan cinta tidak berbelah bagiku itu. Allah! Allah! Allah Maha Besar!

“Ibuuuuuu!!” kedengaran suara si bongsu ku, Suri menjerit menghilangkan terus ingatanku pada layar cerita 10 tahun lalu…laa rupanya dia dah banyak kali memberi salam di luar pintu tetapi aku yang sedang hanyut dalam kenangan lalu langsung tidak menyedarinya. Sebenarnya Suri baru saja pulang dari sekolah ,ada kelas tambahan.

Suri memelukku mesra..anak ini sentiasa riang gembira seolah-olah hidup tiada masalah , biasalah budak seusia dia yang baru berusia 10 tahun pastinya hanya tau melayari kehidupan dengan kegembiraan saja.

“Suri saaayaang ibu”, si comel ini memang pandai membeli hatiku..dia la yang selalu menemani ku kerana 2 kakaknya tinggal di asrama. Sementelah lagi kisah airmata itu bermula ketika aku mengandungkan Suri, pastinya kami menjadi lebih akrab.

Mataku menghantar langkah Suri naik ke bilik atas, itu tidak lain nak mengadap laptop la tu. Aku memberinya sedikit kebebasan di kala cuti begini lagipun dia baru saja pulang dari kelas tambahan.

Kedengaran pula lepas tu bunyi kereta memasuki ruang laman rumahku , suamiku pulang seperti biasa, malam ni giliran di rumah ku pula.

Aku seperti biasa menunggu suami di depan pintu, menyambut huluran salam, kami saling memberikan ciuman kasih sayang dipipi, rutin yang tidak pernah sekalipun kami tinggalkan walaupun sudah 10 tahun aku dimadukan dan usia perkahwinan kami telah pun mencapai 21 tahun.

“Mar masak apa hari ni?” soalan wajib setiap kali suamiku melangkah masuk ke rumah bila giliran di rumahku.

“Tenggiri masak lemak cili api, acar timun dan cencaru sumbat je hari ni, bang” mesra seperti selalu aku memberikan jawapan kepada pertanyaan suamiku.

Aku perasan wajahnya agak mendung, pastinya untuk mendengar dia bercerita tentang masalah yang dihadapinya adalah mustahil. Sebenarnya wajah mendung begini kian kerap melatari wajahnya,bukan saja akhir-akhir ini malah telah lama ku kira.ianya jelas di mata hatiku.

Aku kira pastinya masalah kewangan yang menghantui benak suamiku hinggakan wajahnya begitu kelat sekali.

“abang ada masalah ke? Ceritalah pada Mar, mana tau boleh ringankan sikit tanggungan abang tu” aku cuba berdiplomasi sebaik mungkin.

“tak ada apalah, lagipun Mar tak perlu tau kalau abang ada masalah” keras dan agak hambar je kedengaran suara suamiku di pendengaranku .

“abang, kita kahwin dah 20 tahun lebih, abang masih lagi dengan sikap suka memendam rasa, Mar dah selalu cakap kalau ada yang abang tidak berpuas hati, sama-sama la kita bincang,hidup berumahtangga ni perlu ada komunikasi 2 hala,bang” aku bersuara sedikit tinggi tapi sebenarnya masih lagi terkawal, sesungguhnya aku tidak pernah membantah cakap suamiku sejak hari pertama kami kahwin tetapi selepas dimadukan, aku agak berani untuk menyuarakan pendapatku. Suami seorang lelaki yang begitu ego untuk menerima pendapat dan teguranku. Aku terpaksa akur dengan sikapnya namun aku tidak pernah berhenti berdoa agar Allah memberinya petunjuk.

“ sebenarnya ini masalah mengenai perniagaan abang, dah lama perniagaan abang merosot, banyak simpanan digunakan untuk menampung kehidupan, orang sana tidak bekerja kerana tamat kontrak, dia sedang mengandung lagi sekarang” nah terluah juga daripada mulut suamiku yang selalunya ego tak bertempat ini.

Aku sebenarnya tidak terkejut dengan luahan ini kerana aku dapat mengagak bila suamiku kerap mengambil buku akaun simpanan daripada laci simpanan kami. Nampaknya maduku mengandung anak ke 3 sekarang, agak perit bila tiada pendapatan sedangkan tanggungan makin bertambah ,aku bersyukur kerana aku masih bekerja dan secara tidak langsung aku banyak menanggung perbelanjaan keluarga semenjak suamiku beristeri lagi.

Suamiku membelikan rumah untuk isteri kedua menggunakan duit suamiku sepenuhnya dan melakukan renovasi kepada rumah tersebut bagi menyamai rumah kami yang ada kerana itu adalah salah satu bentuk keadilan, itulah kata-kata suamiku ketika aku mengomel terlalu cepat suamiku membelikan rumah untuk isteri kedua, sedangkan ketika kami baru berkahwin dulu kami hanya menyewa flat selama 3 tahun sebelum menduduki rumah teres setingkat yang sempit. Hanya ketika perniagaan suami maju, kami mendiami rumah teres 2 tingkat yang agak besar dan selesa.

“kalau abang perlukan duit, Mar boleh keluarkan duit simpanan Mar, mungkin tidak begitu banyak tetapi Insyaallah dapat menampung perbelanjaan abang di sebelah sana, Mar ikhlas bang,jangan abang terasa apa-apa” aku menawarkan pertolonganku, sebagai isteri sudah tentu aku tidak sanggup melihat suami berada di dalam kesusahan begini.

“ abang sangat malu dengan Mar….abang sia-siakan cinta Mar terhadap abang selama ni, abang terlalu mengikut rasa hati abang…Mar terlalu banyak berkorban demi kebahagiaan abang..maafkan abang, Mar” suami memelukku erat dan jelas airmatanya bergenang.

“usahlah abang ungkit lagi perkara lepas…10 tahun bukan waktu yang singkat untuk Mar hadapi tetapi Mar redha dan sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk menerima dugaan ini dengan penuh keredhaan…Mar sudah tidak terasa pahitnya lagi kini mungkin masa telah mengubati segalanya…Mar cukup bahagia kerana mempunyai suami seperti abang walaupun abang juga yang menghancurkan hati Mar..Mar hampir hilang jiwa selepas apa yang abang lakukan pada Mar…Mar diberikan ganjaran sebegini tanpa Mar tau apa kesalahan dan kekurangan Mar…Mar sudah cukup bahagia bang sekarang…semangat Mar dah kembali pulih…” aku luahkan segalanya dengan tangisan yang menderu.

Kami saling berpelukan di ruang tamu rumah. Kalau Suri turun menjenguk ke bawah mesti dia terkejut melihat kami di dalam keadaan sedemikian. Lama jugak aku menangis mungkin kerana saat ini telah lama aku nantikan , aku ingin sekali meluahkan rasa di hati aku walaupun bukan sepenuhnya tetapi sekuranya aku dapat mendengar dia meminta maaf dariku.

Selang seminggu selepas peristiwa di ruang tamu itu, RM3 ribu bertukar tangan…aku seikhlas hati memberikan kepada suami. Duit itu la yang akan digunakannya untuk persediaan sekolah 2 anaknya, keperluan untuk bersalin serta lain-lain perbelanjaan.

Kuasa Allah tiada siapa dapat mengatasinya…suamiku yang suatu masa dulu pernah mempunyai pendapatan sehingga mencecah 30 ribu sebulan kini langsung tidak mempunyai pendapatan.

Menurut cerita suamiku, selepas setahun dia berkahwin lain, semua rakan niaga menamatkan kontrak perniagaan, bermula dari hari itu, dia cuba memulakan perniagaan lain tetapi semuanya berakhir dengan kegagalan. Dia keberatan untuk bercerita kepadaku kerana merasa malu dengan tindakannya sebelum ini. Suamiku turut mengakui pernah meninggikan suara kepada ibunya selepas ibunya mempersoalkan keputusannya berkahwin lain suatu masa dulu, suamiku yakin ini salah satu pengajaran dan pembalasan di atas perbuatannya itu.

Aku hanya mampu menyuruhnya bersabar dan memujuk beliau memohon ampun dan maaf daripada kedua ibuabapanya, semoga ibu mertuaku lembut hati untuk mendoakan kejayaan hidup anaknya ini.

Akhirnya dengan berkat doa ibu, doa kedua-dua isteri dan kesungguhan suamiku serta izin Allah, selepas berakhir tempoh pantang isteri keduanya, suamiku berjaya memulakan perniagaan yang baru, isterinya dapat pekerjaan baru dan kuasa Allah jua menganugerahkan 3 putera kepada suamiku melengkapi kehidupan kami semua. Aku menangis kerana terasa sungguh kerdil dan aku yakin dengan kebesaran Allah.

Aku muhasabah diri di atas semua kejadian ini. Aku sedar ini adalah dugaan Allah, aku pernah merasa terlalu bahaia yang mungkin hingga menjadi riak dan lalai ketika suamiku memperolehi pendapatan hingga 30 ribu sebulan. Mungkin tanpa ku sedari aku pernah menyinggung perasaan orang lain kerana percakapanku yang mungkin seperti memandang rendah di atas kesusahan orang lain. Mungkin ketika itu aku terlalu leka kerana tidak menyangka akan diuji sebegini. Aku bersyukur kepadaMu Ya Allah kerana memberikan aku kesedaran sebelum aku menutup mata menemuiMu satu masa yang aku sendiri tidak tau waktunya.

Hari ni aku dan anak-anak berkumpul, biasalah ketika cuti sekolah akhir tahun ni, ini la aktiviti kami berempat, keluar makan bersama, menonton wayang bersama, ini salah satu hikmahnya selepas hidup bermadu, suamiku memang agak sibuk kerana anak-anak di sebelah sana masih kecil pastinya menuntut lebih perhatian, aku redha dengan situasi itu kerana ini memberi peluang untuk aku lebih rapat dengan 3 puteri kami itu.

Seawal pagi aku dan anak-anak sibuk memasak di dapur sementelah lagi ayahnya akan pulang makan tengah hari di rumah. Kami hidangkan nasi ayam dan puding roti sebagai pencuci mulut. Sengaja aku masak lebih banyak kerana kami bercadang untuk tidak memasak lauk lagi malam ini.

“Assalamualaikum” suara suamiku kedengaran dibalik pintu utama. Dek kerana kalut di dapur kami tidak menyedari bunyi kereta masuk di laman rumah.

“Waalaikummusalam” serentak aku dan anak-anak menjawabnya.

Amat terperanjat kami bertiga bila pintu ku kuak dari dalam…kelihatan 5 susuk tubuh manusia di depan pintu.

“ Kak Mar…..Lisa malu dengan Kak Mar…Lisa dah ambik hak Kak Mar, Lisa terus sombongkan diri” Maduku menerpa dan memelukku erat..terpinga-pinga aku dalam pelukkannya namun aku turut membalas pelukan Lisa.

“Dah la…malu jiran-jiran tengok, nanti boleh jadi buah mulut orang pulak kalau kita bertangis-tangisan begini di depan pintu, jom la masuk” aku agak gementar namun ku kuatkan semangat. Ku yakin hidup baru akan bermula hari ini. Di dalam hatiku agak marahkan suami kerana tidak memberitahu lebih awal plan untuk membawa keluarga keduanya di dalam hidup kami hari ini.

Nampaknya 3 puteri kami yang mula-mulanya malu malu kucing dengan umi dan 3 adik lelaki itu akhirnya menjadi mesra di dalam masa yang sungguh singkat.

“ Lisa dah lama ingin ke mari tetapi Lisa takut Kak Mar tidak menerima kehadiran kami, lagipun Lisa tak nak Kak Mar terus bersedih bila melihat kehadiran kami yang tidak diundang”, Lisa agak tenang menuturkan bicara, berbeza berbanding aku yang agak kalut, mungkin ini kah perasaan isteri tua?

“ Kalau dulu memang Kak Mar tak dapat menerima kehadiran Lisa dan anak-anak di dalam hidup kami tetapi kita ni kan makin sehari makin tua, makin banyak ilmu dan pengalaman yang kita lalui , pastinya itu semua mematangkan kita, mengajar kita menjadi lebih positif lagipun hidup kita hanya sekali, Kak Mar tak nak habiskan masa tua Kak Mar dengan bersedih sepanjang masa” , akhirnya aku turut tenang dan bersuara untuk hilangkan rasa bersalah di hati Lisa.


“ Abang minta maaf dengan Mar dan Lisa kerana gagal menjadi suami yang baik selama ini, selepas ini abang harap kalau ada yang tidak betul, Mar dan Lisa sudi memperbetulkan abang, memberi teguran kepada abang….”, suamiku bersuara dengan penuh sendu .

Kami semua berpelukan mesra dengan airmata berlinang tanda bahagia dan menerima takdir ini sebagai salah satu ketentuan untuk kami dan semoga kami bahagia sebagai satu keluarga. Tiap yang berlaku adalah ujian daripada Allah . Aku tidak menyangka akan berdepan dengan wanita yang pernah membuatkan hidup aku nanar dan hilang punca , wanita yang pernah membuatkan tidur malamku diulit cemburu dan inilah wanita yang mengajar aku erti berkongsi kasih dan pengorbanan. Semoga permulaan baru hari ini membawa kami ke syurgaMU. Poligami tidak menjadi satu kesalahan tetapi sekiranya pihak suami gagal menjadi suami yang adil mengikut acuan Rasulullah ianya boleh menjadi satu bencana di dalam rumahtangga.

2 comments :

Diana Rashid berkata... [Reply to Comments]

Citer betul ke ni kak??kalau saya jangan harap nak tolong bagi duit..sebab kita pun ada tanggungan..baik nye la isteri pertama tu..padan la madu dan suami ambik kesempatan sampai berbelas2 tahun..

aizamia3 berkata... [Reply to Comments]

Dalam usia sebegini memang takkan boleh terima apa yang telah suami lakukan.. tapi bila melihat pengalaman orang terdekat yang mengalami situasi bermadu saya jadikan pengajaran dan teladan dalam hidup.. hidup ni hanyalah pinjaman..
Moga saya kuat menempuh dugaan dariNYA.. DIA takkan bagi dugaan andai kita tak mampu nak hadapinya.

Catat Ulasan